Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Tuesday, 24 October 2017

Talapia Masak Lemak Cekur

Pasar sabtu lepas ternampak ikan talapia  teringin pulak nak makan & masak lemak. Nampak pulak ubi cekur dan daunnya sekali...alahai sedapnya!



Saya masak ikan talapia dgn ubi cekur tu utk lauk dinner..sedapnya..dah lama sangat tak beli ikan talapia ada beberapa tahun rasanya..

Salah satu sebab saya tak beli kerana ikan laut dalam lebih baik dari ikan bela di darat..ini yang saya baca dan tahu lah...ermm tapi saya dulu-dulu masa kecil memang ikan ini menjadi santapan. Dulu mungkin tiada anasir-anasir yg tak baik ni..terutama dari segi apa yang diberi makan ikan bela ni..hmm ntahlah.

Moga-moga ikan talapia yang saya masak ni selamat hendaknya hihi..


Talapia Masak Lemak Cekur
ymscreations

Ikan Talapia dibersihkan dan dipotong
1 mangkuk santan
11 biji cili api ikut kepedasan 
2 ulas bawang putih
2 pokok cekur yang ada ubi sekali 
1/2 inci kunyit hidup
1 keping asamkeping
garam secukupnya

Cili api, bawang putih,kunyit hidup dan ubi cekur ditumbuk halus
Daun cekur dihiris nipis
Panaskan periuk, masukkan santan dan bahan tumbuk biarkan mereneh
Bila mendidih masukkan ikan dan daun hirisan cekur biar hingga masak
Masukkan garam dan hidangkan

Sedap tau...ini salah satu menu jawa tau..

Alhamdulillah

~yms~

Thursday, 19 October 2017

Ikan Sebelah Goreng Berlado...sedapnya!

Bila tanya Mr Hubby..apa nak masak ikan sebelah yang besar tu...jawapannya Masak Berlado..guna cili basah. Baiklah!

Ikan ni saya beli di Pasar Nelayan Kuala Selangor cuba cari entri perihal pasar ni saya ada kongsikan...

Ikan sebelah ni bila digoreng atau dibakar sedap rasanya..bila digoreng garing kulitnya memang terbaik..nak rasa kena beli dan masak yer..


Saya masak separuh sahaja tang kepala nak masak asam pedas *asik2 asam pedas hahahaha
jom laa kita masak..

Ikan Sebelah Goreng Berlado
ymscreations

Ikan sebelah dibersihkan dan goreng garam kunyit hingga agak-agak garing


2 sudu besar cili kisar (saya letak juga sbb anak2 suka sambalnya)
1 biji bawang besar dihiris kasar
2 biji cili merah *
3 ulas bawang kecil *
2 ulas bawang putih *
1 keping asam keping
garam dan gula secukupnya
sedikit air 
sedikit minyak

Panaskan minyak dan tumis bahan bertanda * yang sudah ditumbuk
Masukkan cili kisar dan biarkan sedikit garing
Masukkan garam, gula dan asam keping.
Masukkan sedikit air dlm batu lesung (saya suka buat mcm ni sayang bahan2 yg ditumbuk dalam lesung tu)
Biarkan merenih dan masukkan bawang yg dipotong kasar


Bila agak pekat boleh tutup api dan tuang atas ikan
Sedia untuk santapan!


Alhamdulillah...seronok tengok suami dan anak-anak selera makan...licin!..hilang penat balik kerja dan masak..syukur

~yms~

Thursday, 25 May 2017

Ikan Siakap Masak 3 Rasa & Sayur Campur ymscreations

Ikan Siakap ni hubby beli di Pasar Nelayan Kuala Selangor..besar juga..saya masakkan menu ini utk juadah petang balik dari kampung hubby..


Mudah jer masak menu ni..macam masam manis juga cuma saya letak hirisan serai dan hirisan daun limau purut..mudah saja..pssstt kalau nak resepi komen di bawah ni..tapi saya rasa dah ada saya kongsikan dlm blog ni..


Saya gandingkan dgn sayur campur versi ymscreations hehe boleh nampakkan bendi, sawi, karot yang ditumis dgn sos tiram dan sotong yg segar hahh licin tau..

Jom ler masak yang mudah-mudah jika nak jimat masa yang pasti sedap..nak sedap ikhlaskan hati..terutama di bulan ramadhan..Salam Ramadhan Kareem..

Alhamdulillah..

~yms~

Wednesday, 24 May 2017

Ikan Sardin Goreng Cili

Tinggal lagi 2 ke 3 hari nak berpuasa jika anak bulan mengesahkan kita berpuasa pada hari sabtu ini 27/5/2017 bersamaan 1 Ramadhan 1438H. Sebagai ibu-ibu yang mahukan juadah yang disediakan utk berbuka dan bersahur nanti yang terbaik utk keluarga sudah pastinya dari sekarang sudah memikirkan apa menu yang bakal dimasak. Betulkan..begitu juga saya..selagi daya saya akan sediakan sendiri juadah utk keluarga dibln yg barakah semoga apa yang masuk ke dalam perut suami dan anak-anak adalah terjamin kebersihan bagi meneruskan ibadah selama sebulan.



Menu yang saya kongsikan ni sesuai utk juadah bersahur..Ikan Sardin Goreng Cili..
atau boleh juga dipanggil Ikan Sardin Goreng Sambal hihi kita yang buat dia suka hati lah nak bagi nama apa yer..

Ikan Sardin Goreng Cili

3 ekor ikan sardin digoreng garam kunyit
3 biji cili besar hijau*
1 biji cili besar merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 biji bwg besar*
1/2 inci belacan*
1/2 biji bwg besar dimayang kasar
Sedikit air asam jawa
Garam & gula secukup rasa
 
Tumbuk bahan yg bertanda* sedikit lumat
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi dan sedikit garing
Masukkan bwg yg dimayang
Perasakan gula & garam 
Masukkan air asam jawa
Biar hingga pekat dan masukkan ikan yg digoreng td gaul sebati dan angkat
Siap






Alhamdulillah

~yms~

Saturday, 11 March 2017

Percik Ikan Sebelah

Bila dah tak lalu nak makan lauk apa bila tengah 'tunggu hari ni..' mulalah teringat masakan arwah mak. Kembar saya berikan idea untuk masak ikan percik..ermm sedap tue.. tapi kat dalam peti takde ikan kembong..yang ada ikan sebelah. Terbaca blog Kak Amie ikan sebelah bakar..ermm boleh la buat percik ni..


Wah..sedap rupanya ikan sebelah dimasak percik!

Resepi Percik Ikan Sebelah
ymscreations

Ikan sebelah diletak garam dan kunyit dan dibakar!
1 cawan santan 
2 ulas bawang putih*
4 ulas bawang merah kecil*
4 sdb cili kisar
1 sdk serbuk kunyit
1 inci halia*
1 batang serai dititik
Sedikit air asam
Garam & gula secukup rasa
Minyak utk menumis

Semua bahan yang bertanda dikisar  
Panaskan minyak utk menumis bahan kisar tadi hingga naik bau dan masukkan  cili kisar biarkan hingga naik minyak
Masukkan serbuk kunyit dan serai 
Masukkan santan pekat dan kecilkan api
Masukkan gula, garam & air asam
Biarkan hingga pekat & terbit minyak
Tuangkan ke atas ikan yang dibakar

Kalau nak dibakar atas ikan pun boleh saya tuang sahaja dan bakar ikan menggunakan pemanggang ajaib

Alhamdulillah

~yms~

Friday, 17 February 2017

Sambal Ikan Sardin Rebus...ermm sedap!

Alhamdulillah cepatnya masa berlalu..sudah melebihi pertengahan Februari 2017..Salam Jumaat semuanya..

Saya bersiaran dari rumah kerana telah bercuti sejak januari hingga Jun ini..inshaaAllah.

Saya punya masa untuk update blog yg disayangi ini..tahun lepas sangat sedikit saya berblog..moga saya dapat luangkan masa utk laksanakan impian saya..


Saya sediakan menu ini utk hari ni..ikan sardin segar yer bukan sardin dalam tin hehehe..jom kita masak!!

Resepi Sambal Ikan Sardin Rebus
ymscreations

2 ekor ikan sardin direbus dgn garam dan asam keping
3 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 cawan air asam jawa
4 sdb cili kisar
1/2 biji bawang besar hiris kasar
Gula dan garam secukup rasa 

Goreng ikan yg telah direbus dgn api sederhana
Tumbuk bawang merah, putih dan belacan hingga lumat
Tumiskan bahan tumbuk hingga garing dan masukkan cili kisar hingga garing
Masukkan garam dan gula secukupnya
Masukkan air asam jawa dan biarkan hingga terbit minyak
Masukkan bawang hiris dan ikan goreng tadi
Boleh dihidang dengan nasi panas dan lauk lain..saya hidang dengan pucuk paku tumis dan ikan masin gelama jeruk diperah limau kasturi errmm aduhh menyelerakan!


Alhamdulillah..

~yms~

Tuesday, 7 February 2017

Sedapnya Ikan Sardin Masak Taucu


Ini lauk kegemaran saya dan hubby..ermm sedap sungguh leh ratah-ratah jer taucu tu kalau makan dgn mr hubby. Saya masak taucu ni kering-kering jer aduhaii sedap sungguh!


Saya guna ikan sardin yang dibeli di Pasar Nelayan Kuala Selangor ahad lepas..besar-besar ikan sardinnya..cukup-cukup jer masak seekor. Bila dua orang anak tinggal di asrama ni masak pun tak banyak sebab selalu berbaki jenuh nak limit masak cukup-cukup jer..sebabnya abang & kakak yang suka meratah lauk. Amir memang makan tak banyak dari dulu..Ammar pulak tengok lauk kalau sambal ermm memang bertambah nasi. Si kecil Amsyar memilih sangat makannya..Ok jom kita masak taucu!

Resepi Ikan Sardin Masak Taucu 
ymscreations

1 ekor ikan sardin dipotong perasakan garam dan kunyit dan digoreng
1 paket taucu bilal (beli di kedai aceh jer)
1/2 biji bawang besar dihiris kasar
1 ulas bawang putih dihiris
1 biji cili besar hijau dihiris kasar
3 biji cili api (ikutla kepedasan masing2) dihiris
1/2 inci halia dihiris nipis
1 btg serai dititik
1/2 sdk gula

Panakan kuali dengan minyak sedikit agak-agak
Tumiskan bahan hirisan dan serai hingga layu dan masukkan taucu biarkan sebati
Masukkan gula dan kacau lagi
Masukkan sedikit shj air biar jangan hangus
Perasakan gula dan garam (jika perlu) sebelum dimasukkan ikan sardin yang telah digoreng tadi
Kacau sebentar dan boleh dihidang


Masa ni  saya sediakan juga sayur bendi & boncis ditumis udang kering bersama tempe dan untuk anak-anak yang cerewet saya sediakan telor kicap..

Alhamdulillah

~yms~

Tuesday, 17 January 2017

Sambal Ikan Kerisi Berempah

Jom kita masak yang mudah-mudah hari ni yang pasti anak-anak suka dengan apa yang kita sediakan untuk mereka.

Hari ni saya masak sambal ikan kerisi berempah..



Resepi Sambal Ikan Kerisi Berempah

2 ekor ikan kerisi digaram kunyit dan digoreng garing
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang kecil
1/2 inci belacan
1/2 biji bawang besar hiris kasar
1/2 sudu besar ketumbar biji
1/3 sdk jintan halus
5 sdb cili kisar
1/2 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

Tumbuk bawang merah kecil, bawang putih dan belacan hingga lumat
Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk hingga garing dan masukkan cili yang dikisar dengan ketumbar dan jintan, biar hingga pecah minyak dan garing
Masukkan garam dan gula ikut citarasa
Letakkan air asam dan kacau sebati
Masukkan bawang potong hingga layu dan sedikit air
Bila sambal dah cantik masukkan ikan kerisi yg telah digoreng tadi

Hidangkan dengan salad pun dah memikat selera..

Alhamdulillah..

~yms~


Tuesday, 10 January 2017

Ikan Bawal Emas Masak Tempoyak

Assalam semua...lama sangat saya tak kongsi cerita..sampai masuk tahun baru..2017. Alhamdulillah bersyukur sangat bila Allah SWT beri peluang dan ruang untuk saya menulis diruangan yang saya cintai..

Sesekali bercuti panjang saya rasakan inilah peluang untuk saya isi masa untuk anak-anak yang selama ini saya tinggalkan dengan pembantu atau di taska..betapa seronok anak-anak bila tau mama ada masa di rumah dan yang penting sediakan sarapan dan makan tengahari sebelum 'my loves' ke sekolah.

Jom kita cerita perihal menu kegemaran anak-anak..ni dia Ikan Bawal Emas Masak Tempoyak..anak-anak saya memang sukakan menu ni abis licin tak tinggal sikit pun hehehe..


Resepi Ikan Bawal Emas Masak Tempoyak

Seekor Ikan Bawal Emas dipotong 4 bahagian
Cili api ( saya guna 5 biji jer sbb tak nak pedas)
Sebiji cili besar merah buang biji
Kunyit hidup seinci
Sekuntum bunga kantan potong 4
4 btg daun kesum
2 sudu besar tempoyak
Sekeping asam keping
Air masak semangkuk
Garam secukupnya

Tumbuk cili api, cili besar dan kunyit hidup hingga lumat dan tumbuk sekali tempoyak

Masukkan ikan dalam periuk, bahan tumbuk, daun kesum, bunga kantan, 
air serata ikan dan garam secukupnya

Buka api perlahan dan biarkan hingga mendidih, kacau sekali sekala sahaja untuk elak ikan hancur

Bila dah mendidih masukkan lebihan air dan renehkan hingga ikan dan bunga kantan masak

Mudahkan..yang pastinya sangat membuka selera untuk menjamu selera samada makan tengahari atau malam.

~yms~

Monday, 8 February 2016

Celur Kangkung Hasil Tuaian Pertama

Cerita berkebun pagi tadi..saya petik atau tuai kangkung yg ditanam dalam pasu jer tapi dah menjalar ke serata pokok hehe..merayap ko yer kangkung..


Lupa plk nak snap kangkung tadi alahai..nak tumis tak la banyak mana..celur lah dan cicah sambal belacan.


Kebetulan hari ni masak Kari Ikan Jenahak, saya buat Sambal Belacan Limau Kasturi geram jerk tengok kulit limau yg cantik dan besar ni saya hiris dan masukkan dalam sambal belacan. Wow bikin tak boleh diet ni bila nasi bertambah aduhai..apa nak buat sedap punya pasal. 


Resepi kari ikan ni boleh carilah dalam blog saya ni yer. Sama sahaja cuma saya tumiskan halba campur biar wangi kari ikan ni. Alhamdulillah...

~yms~

Wednesday, 13 January 2016

Ikan Bakar Bersambal

Assalam, selamat berhujung minggu pada semua...semoga kita beroleh kebahagian buang jauh-jauh kesedihan kemarahan..maafkan insan di sekeliling kita...moga Allah kurniakan bahagia yang berpanjangan amminn..

Jom kita makan makanan yang menyihatkan..rebus dan bakar..
Kali ni saya masak ikan cencaru bakar bersambal..anak-anak saya suka yang bersambal kalau takde sambal kurang seleranya..tapi jangan dibiasakan sangat makanan pedas ni. Saya tahan pedas dimulut tapi diperut tak tahan aduhai..


Ikan Bakar Bersambal
ymscreations.blogspot.my

Ikan cencaru seekor besar
1 ulas bawang putih
Daun pisang untuk balut ikan
1 helai daun kunyit
2 sudu cili kisar
1/2 sdk serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Tumbuk bawang putih hingga lumat
Masukkan cili kisar garam dan serbuk kunyit gaul rata sambal ikan
Sediakan daun pisang & letakkan daun kunyit di atas daun pisang (rujuk gambar)
Letak ikan dan lumur rata bahan 
sambal dia atas, dalam dan bawah ikan
Panggang menggunakan pemanggang ajaib hingga masak dengan sempurna
Saya suka tidak terlalu kering isi ikan agak2 dah masak blh diangkat
Cicah dgn air asam memang berselera




Alhamdulillah..

~yms~

Monday, 21 December 2015

Ikan Kukus Sambal Kicap Berapi !!!

Assalam...

Jom masak yang simple macam saya masak malam ni..batuk menyerang dari minggu lepas hari ni tekak ni macam ada sesuatu..aduhh betapa seksa bila Allah tarik nikmat kita sementara..Allahuakbar, semoga Allah beri semula kesihatan seperti sediakala. Badan jadi sakit bila batuk menyerang. Alahai anak-anak suruh cuti pegi klinik tetapi demi tugas apakan daya.

Saya nak cepat di dapur saya kukus je ikan pelaling atau kembung ni. Mudah jer, gaulkan ikan dengan garam dan kukus hingga masak.


Sediakan kuah kicap pedas berapi fuhh tak ada selera pun boleh bertambah tau. Tumbukkan cili api dalam 11 biji dan 2 ulas bawang putih hingga lumat. Perahkan 2 biji limau kasturi dan tuangkan kicap. Tahap kepedasan ikutlah selera masing-masing.


Dua tiga hari makan lauk kenduri suanya berlemak apa salahnya sesekali masak yang super simple dimple ni..woww memang superb..Alhamdulilah..macam blog saya ni juga la yang sangat simple..tetapi memeranjatkan saya..

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelayar laman blog saya yang sangat simple dimple ni..hehehe nak update pun sela tarikh  jauh-jauh. 

Namun apa yang mengejutkan saya semakin hari semakin ramai untuk blog yang tak berapa glamor ni...tetamu yang berkunjung merata tempat di dalam dan di luar negara..Alhamdulilah syukur..semoga Allah merahmati sahabat sekalian. Saya jadikan blog ini sebagai medan untuk saya berkongsi ilmu masakan..semoga ianya menjadi rujukan sahabat  sekalian. 


Alhamdulilah syukur

~yms~

Friday, 18 December 2015

Kari Kepala dan Telor Ikan Bagok...Terbaik...

Salam Hujung Minggu...

Penat betul hujung minggu ni...bila pembantu rumah saya berhenti nak kawin katanya..saya rasa memang letih kerana kerja mendobi memang dibawa ke hujung minggu..

Bukan anak-anak tak boleh buat urusan basuh dan sidai baju ni..tetapi sejak akhir-akhir ni banyak kejadian rompakan jadi saya tak benarkan anak-anak keluar rumah walaupun hanya di belakang rumah. Moga Allah SWT memberi perlindungan kepada anak-anak kita jua.

Hah!! Ingat tak saya ada masak Asam Pedas Ikan Bagok sebelum ni..kali ni saya masak Kari Kepala Ikan Bagok bersama Telornya yang sangat enak..ermmm teringat ingat kesedapannya.



Kari Ikan ni sama jer macam kari yang saya pernah masak sebelum ni. Saya suka tumis hirisan bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu manis dan bunga lawang. Jangan lupa tumis juga daun kari dua helai. Masukkan sesudu cili kisar dan tumis garing, baru masukkan rempah kari dan biarkan hingga garing.
Masukkan air asam jawa, kepala ikan dan telor ikan bagok. Kemudian masukkan semangkuk air suam dan santan. Tambahkan bendi dan cili hijau, biarkan ikan masak dengan menggunakan api kecil.




Sedap sangat telor ikan ni..wallaaa...kepala ikannya usah dipertikaikan lagi memang sedap sangat..

Saya pernah baca di mr google telor ikan bagok ni mahal juga harganya. Alhamdulilah saya dapat telor ikan ni sekali masa beli ikan bagok ni yang beratnya lebih 3 kg. 

Cubalah cari ikan bagok ni..memang tak rugi..rugi siapa yang tak makan ikan ni hehehe..

~yms~

Sunday, 13 December 2015

Asam Pedas Ikan Bagok

Awal pagi selepas subuh saya telah keluarkan Ikan Bagok, hajat dihati nak dibawa ke rumah ayahanda di Merundan makan tengahari di sana sebelum kami bergerak ke Tampin. Ayra, puteri tunggal saya ada temuduga bagi kemasukan ke MRSM di Gemenceh, Negeri Sembilan. Semoga semua berjalan lancar pada hari Isnin nanti. 

Jam 9.00 pagi Asam Pedas Ikan Bagok telah pun siap. Pertama kali saya memasak ikan bagok ni. Dapat 2 ekor, yang kecil dan yang besar. Yang besar beratnya 3 kilo lebih kata As. As anak kepada tauke Kak Zie yang menjual hasil tangkapan nelayan di Pasar Nelayan LKIM Kuala Selangor.

Selesai kerja di pejabat pada hari sabtu yang lalu, kami bergerak ke rumah kami di Selayang untuk selesaikan apa yang patut. Selepas solat zuhur, kami menuju ke Kuala Selangor untuk mengambil ikan segar yang ditempah petang semalam. Kata As ikan baru naik, semua saya borong hehehe maklumla stok ikan dsh habis. 

Selain ikan bagok, senangin saiz besar, jenahak dan kaci. Alhamdulilah semua ikan yang saya suka. Cuma bagok saya biasa dengar cuma kali ini pertama kali.
Alhamdulilah sangat sedap ikan ni...lembut tidak liat...dua keping saya goreng. Kepala ikan saya masak asam pedas bersama dua keping isi ikan.

Nak cerita sikit time bab bersihkan ikan ni terutama bahagian kepala tue. Adusss sakit jari jemari ku luka semua sebab tang insang tu berduri.... Tapi sebab tang ikan tu yg sedap tahan jelah..hehe


Resepinya sama seperti sebelum ini cuma kali ni saya guna cili besar tak nak sakit perut sebab Ayra nak temuduga.

Apapun alhamdulilah licin juga kami anak beranak, Abah dan adik beradik menjamu makan tengahari hari ni..

Sesiapa yang belum pernah rasa ikan bagok cubalah yer..spesis ikan mayong juga tapi lagi sedap sebab tu harganya mahal sedikit.

~yms~

Wednesday, 14 October 2015

Salam Maal Hijrah - Kari Ikan Nyok Nyok


Assalam, Selamat Menyambut Maal Hijrah 1437..semoga kita semua terus diberi rahmat dan hidayah, kesiihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan..aamin. Alhamdulilah diberi cuti hari ni seronoknya..dapat saya ke Kuala Selangor untuk borong ikan. Tetapi rezeki tidak menyebelahi saya kerana lewat sedikit sampai dan Kak Zie sempat simpan ikan Jenahak Merah seekor, ikan Nyok Nyok, udang dan sotong. Alhamdulillah...



First time dengar ikan nyok nyok kan hehe bunyi macam pelik tapi rasanya bagaimana yer..dah tak ada pilihan ikan lain saya ambil jugalah. Saiz ikan ni besar juga rupa macam ikan selar tapi lebar dan ada bintik-bintik kuning dibadannya. Saya sampai ikan dah siap siang tak sempat nak snap gambarnya.


Balik rumah saya terus siang dan nak cuba masak kari. Segar sungguh ikan ni , lembut isinya memang sedaplah.

Resepi Kari Ikan Nyok Nyok
ymscreations 

1 ekor Ikan Nyok Nyok dipotong
1 paket serbuk kari ikan cap O
3 biji bawang kecil dihiris 
2 biji bawang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris
1 sdb cili kisar
1 cawan santan pekat
1 cawan air panas
1 sdk halba campur
2 biji terung saiz kecil dibelah dua dan potong serong digoreng 
Pucuk daun kari
1/2 sdb asam jawa dibancuh dgn air
Garam secukup rasa
Minyak utk menumis 

Panaskan minyak dan tumiskan halba campur dan bahan hiris hingga sedikit garing
Masukkan cili kisar dan tumis garing
Masukkan serbuk kari dan kacau sekejap sebelum masukkan 1/2 cawan air
Biarkan hingga garing dan masukkan ikan
Masukkan santan dan lebihan air tadi
Biarkan menggelegak dan naik minyak 
Masukkan terung yg sudah digoreng tadi
Perasakan garam dan biarkan mendidih dan kuahnya menjadi cantik.


Alhamdulilah ikan nyok nyok ni memang sedap isinya lembut dan kebetulan memang segar. Makan bertambah anak-anak malam ni..syukur berkat Maal Hijrah 1437.

::yms::

Friday, 25 September 2015

Sambal Ikan Sembilang

Sedapnya ikan sembilang dimasak asam pedas..tapi kali ni anak-anak minta dimasakkan Sambal Ikan Sembilang uishh pandai anak-anak bagi cadangan menu yang meletop.


Mudah jer masak menu ni yang penting kena siang dengan betul ikan ni..ikan sembilang ni kalau tak disiang dengan betul akan hanyir yer. Jika diperhatikan diperut ikan ni ada pusat yang perlu di buang dan belah perut hingga ke kepala. 
Rendam dengan air limau kasturi dan basuh hingga bersih. Potong badannya supaya dapat potongan yang kecil dan cepat garing bila digoreng.

Resepi Sambal Ikan Sembilang
ymscreations 

3 ekor ikan sembilang yg telah digoreng
1 labu bawang besar dihiris kasar
2 ulas bawang putih ditumbuk
1/4 inci belacan ditumbuk
1/3 sdb asam jawa dibancuh dgn air
2 sdb cili kisar
1 sdk garam
1/2 sudu gula
Minyak utk menumis

Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk dan bawang yg dihiris kasar tadi
Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing 
Masukkan garam dan gula biarkan hingga sebati dan pecah minyak
Masukkan air asam jawa biarkan mendidih
Kecilkan biarkan sedikit pekat dan masukkan ikan sembilang yg telah digoreng dan tutup api

Ermmm sedapnya jika dihidangkan dengan nasi panas-panas. Saya ni dari dulu kalau kuali lepas masak sambal ni saya akan ambil nasi untuk dikorek dalam kuali tu..sedap!!



Alhamdulillah 

~yms~


Sunday, 20 September 2015

Nasi Dagang Kelantan lagi...

Bulan lepas saya beli beras nasi dagang lagi..kebetulan mengajar kursus di Kota Bharu. Beli sekali cili hijau yang sedap tu kononnya nak buat solok..alahai ntah ke mana soloknya tak muncul-muncul.

Saya buat nasi dagang kali ni dengan mengukus..tapikan leceh sikit laa sebab saya tak rendam semalaman. Rasanya lagi mudah tanak macam resepi sebelum ni. Saya ada kongsi di sini..



Tahap kesabaran yang tinggi dan sokongan yang padu dr suami saya dapat juga hidangkan nasi dagang ni..aduhh sejam lebih kakak masak dik oiii..



Haa ni kuahnya..resepi pun pernah saya kongsi kat sini..godek-godek la yer cuma sebelum ni saya guna ikan tenggiri kali ni saya guna ikan tuna yang sangat enak..





Mudah je masak kuah nasi dagang ni..kena cuba baru tau mudah tang macamane yer..
Jom lihat resepi di SINI


Acar ni mudah juga..kan nampak ada timun, carrot, bawang & cili merah kan..hiris macam dalam gambar tu dan bancuhkan gula satu sudu, cuka epal dua sudu dan air panas dalam dua sudu.
Gaulkan bahan bancuhan tadi ke dalam sayuran yang dipotong tadi.

Bolehlah hidangkan untuk yang tersayang..


Hmmmm sedapnya hingga menjilat jari..
Saya buat ni waktu cuti sabtu ahad..pagi waktu kerja kena masak kuah dan acar waktu malam pagi masak nasi sahaja. Mudah kan yang penting kena paksa diri rajin la kan..kalau nak buat sesuatu yang sedap macam saya jugalah..jika tiba malas melanda susah la nak cakap...Hehe..

Jom makan..


Makan dengan keropok dari kemaman memang enak sekali..teringin yer..cubalah buat..

Alhamdulillah..

~yms~



Asam Pedas di bulan September...

Bulan September sangat sibuk bagi saya..yang paling nyata saya telah berpindah tempat kerja di Kuala Lumpur dari Putrajaya. Situasi yang amat berbeza ...huh macam-macam dugaan di tempat kerja yang saya perlu hadap. Nak sesuaikan dengan keadaan skrg memang mengambil sedikit masa. Bab kerja inshaaAllah tapi karenah manusia fuhh hanya Allah SWT tempat mengadu dan meminta pertolongan.

Bulan september juga bulan yang saya rasa banyak kali memasak asam pedas..di antaranya asam pedas daging, asam pedas ikan pecah periuk campur tuka dan asam pedas ikan sembilang. Ada yang tak pernah dengar ikan tuka?
Ni spesis ikan pari juga cuma saiznya agak kecil sedikit. Kalau dibakar memang sedap sekali..saya masak sedikit asam pedas campur dengan ikan pecah periuk.



Pecah periuk?? Hehe pelik kan nama ikan ni..saya di Kuala Selangor baru kenal ikan ni. Warnanya hitam isinya lembut dan sedap, pada saya rasanya persis ikan jenahak tetapi jauh lebih murah harganya. Mungkin rupanya tidak secantik jenahak sebab tu harganya murah hehe. Itu firasat saya jer tak pernah pulak tanya kakak yang jual ikan tu. 

Jom layan gambar asam pedas saya..resepinya sama dengan asam pedas yang saya masak sebelum ni.. Masih menggunakan ketumbar biji dan jintan halus. Kalau pembaca setia blog saya sudi singgah teratak saya inshaaAllah saya sudi menjamu juadah ni..bila ianya akan jadi kenyatan yer hehe..mungkin suatu hari nanti kan tidak mustahil..nak resepi sila rujuk di SINI yer..sama sahaja bahan-bahan yang digunakan.




Tu ikan pecah periuk yer..maaf la kalau terliur hehe..nama pun blog masakan  mestilah gambar masakan yang ada. Kalau blog kecantikan dok tayang muka manusia la pulak kan hehe.
Bawah ni ikan sembilang yang suami beli di Pasar Tanjung Karang hmmm memang marbeles lah..


Saya bila masak asam pedas memang mewah dengan bendi & tomato sebabnya akan jadi rebutan anak-anak dan suami isteri hehe..


Nampak tak ikan sembilang tu..hehe
Asam pedas daging nanti yer saya kena tulis resepinya..ok stop dulu ye jumpa lagi di entri yang lain yer..assalam..

Alhamdulillah..

~yms~


Wednesday, 20 May 2015

Lemak Cili Api Bawal Emas Ulam Pegaga

Sukanya saya dengan ulam pegaga, dimasak lemak cili api dengan ikan memang sangat menyengat.

Leceh sikit nak bersihkan daun pegaga ni lah sebab saya suka ambil akarnya dan biji yang ada di bahagian akar tue, sedap !. 

Masak Lemak Cili Api ni mudah saja semua orang tahu kan..




RESEPI LEMAK CILLI API BAWAL EMAS ULAM PEGAGA
ymscreations

Ikan bawal emas (2 potong)
7 biji cili api
1 inci kunyit hidup
1 ulas bawang merah kecil 
1 cawan santan pekat
1 cawan cair
1 mangkuk daun pegaga yang telah dicuci dan disimpulkan
1 keping asam keping 

Cili api, kunyit dan bawang ditumbuk lumat
Panaskan periuk, masukkan 2 sudu santan pekat tumis bahan tumbuk tadi, bila sudah agak layu masukkan separuh santan pekat dan air secawan
Masukkan daun pegaga dan ikan
Perasakan garam secukup rasa
Masukkan asam keping, biarkan mendidih perlahan dan jaga santan yer



Saya sangat suka ikan bawal emas ni..rasanya jauh lebih enak dengan bawal hitam. Di masak apa pun sedap...

Nak tau tak rasa kuah masak lemak ni sangat enak disebabkan gandingan ikan tue dan pegaga..wallaa..tak percaya cuba..

Pegaga ni sanagt bagus untuk kesihatan terutama perempuan, nanti saya kongsikan khasiatnya yer..

Nampak tak biji atau buah yang dekat sgt dengan akar pegaga nih..haaa itu yg berkhasiatnye jangan dibuang akar dan batangnya di situ lah banyak khasiatnya..



Yang penting family suka Ayra siap hirup kuah yang berbaki..next time mama beli lagi pegaga dan masak dengan ikan senangin atau tenggiri pulak yer..

Alhamdulillah..

~yms~

Thursday, 5 February 2015

Sukanya Asam Rebus Ikan Belanak !


Ikan belanak memang sangat sedap!!! saya sukaaa...

Apalagi bila di masak asam rebus..Ya Allah nikmatnya dapat makan sebegini..yang penting cepat dimasak dan sangat sedap di makan dan di jambal!..haaa apa tu jambal..bahasa jawa diratah yer..dapat belajar bahasa jawakan walaupun satu perkataan. Ilmu tu hahaha...betulkan..nak tanya bahasa jawa sterusnya..rajin-rajin ziarah blog YMS Creations banyak ilmu yang anda jumpa di sini...inshaaAllah.






Tau tak sebab apa gambar ni kurang cantik dan hanya ada satu?? haaa pandai sebab tak sabo nak mamam..hehehe jom tengok resepi pastu balik kang cuba yer mudah ajer..


RESEPI ASAM REBUS IKAN BELANAK
YMS Creations

Bahan-bahan :

Ikan belanak (5 ekor)
5 biji bendi
5 biji cili api
Sebatang cili besar merah
Seulas bawang merah kecil
Seulas bawang putih 
1/2 inci belacan
Ikan bilis (agak-agakla buat perencah)
2 tangkai daun kesum
garam secukup rasa
sekeping asam keping 
2-3 cawan air / secukupnya

Cara memasak :

Tumbukkan bawang, cili dan belacan, masukkan ikan bilis dan tumbuk jgn lumat sgt
Panaskan air dalam periuk dan masukkan bahan tumbuk tadi 
Bila mendidih masukkan ikan belanak dan daun kesum 
Masukkan asam keping, bendi yang di potong dan garam
Bila dah mendidih dan rasanya sebati boleh diangkat

Mudahkan...siapa kata hari-hari kena masak yang susah-susah untuk hidang pada keluarga..yang mudah pun sedap janji ikhlas..

~yms~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...