Friday, 16 September 2016

Manisnya Betik @ My Garden


Syukur alhamdulillah pokok betik saya berbuah cuma 2 biji sahaja setakat ni...apapun saya tetap bersyukur dari tak berbuah langsung!..

Nampak je dah kuning saya minta hubby petik dari pokok dan keesokkannya saya kupas...ermmm rupanya masih keras isinya walaupun dah bewarna merah..

Sebab tak sabar la jadi macam ni..ermmm saya simpan dalam peti..selepas dua hari wahh dah masak sepenuhnya...


Saya potong-potong dan cicah dengan kuah rojak mak bee. Saya suka lebih kacang tumbuk yang fresh!..sedap sungguh laaa tak makan lain dah...


Ni haaa rupa buah betik yang baru dipetik dari pokok..belum masak sepenuhnya tapi risau dipatuk burung
saya minta hubby petik..


Ada tinggal sebiji lagi dipokok masih hijau dan cumel...hehehe

Alhamdulillah...

~yms~

Pokok Nenas Sudah Berputik....

Senangnya dalam hati...pokok nenas yang ditanam pada akhir tahun 2014 sudah berputik..fuhh lama juga nak tunggu nenas ni berputik hati berkata-kata mandul ke pokok nenas ni...


Saya tanam sendiri menggunakan ..yang saya beli buahnya ketika saya bekerja di Kuala Selangor, ada program MAHA Peringkat Negeri Selangor ketika tu..hati teruja bila merasa potongan nenas yang dipotong dan diberi rasa kepada pelanggan berkunjung. Saya membeli sebiji kerana buahnya agak besar harga saya dan tak berapa ingat tetapi puluhan ringgit. 



Bila dikupas dan dipotong uishhh banyak juga satu bekas  tupperware yang selalu saya simpan ikan kembung sekilo.

Rasanya manis & rangup tidak berair seperti sesetengah nenas yang saya pernah makan sebelum ni..

Aduhh tak sabar rasanya nak tunggu buah nenas ni membesar huhu...berapa lama agaknya ye tu..saya ni memang penggemar nenas fuhhh bagi sebiji boleh habis tu..

Alhamdulillah bersyukur kurniaan Ilahi...

~yms~

Wednesday, 14 September 2016

Dada Ayam Goreng Rangup

Dada ayam kat rumah ni kalau dimasak memang tudak menjadi pilihan anak-anak...asik mama & ayah yang makan alahai mana aci ni...

Saya pun simpan buat stok untuk masak spaghetthi tetapi bila dah banyak pening pulak. Kebetulan yang no 4 Ammar ni suka sangat makan ayam Uncle Bob yang goreng tepung rangup tu dan digunting-gunting ada juga yang memanggil ayam gunting..

Saya pun hiris nipis-nipis dan perap dengan bahan-bahan sediada dalam peti ais..ada tepung serbaguna yang dah siap cuma celupkan telur dan salut dengan tepung serbaguna tadi..goreng...hidang panas-panas errmmm sekejap je dah hilang dari pandangan..itula bila cuti sekolah...



Resepi Dada Ayam Goreng Rangup
ymscreations

Dada ayam dihiris nipis
2 sdb rempah raja kari faiza
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
2 ulas bawang putih *
2 ulas bawang merah kecil *
1/2 inci halia *
1 cawan tepung serbaguna
1 biji telor
Minyak untuk menggoreng

Bahan yang bertanda * ditumbuk lumat dan masukkan dalam bekas berisi ayam tadi
Masukkan rempah raja kari, garam, lada sulah dan gaul sebati, perap dalam 20 minit
Pukul ringan telor dan letakkan tepong serbaguna yang dah siap ramuan utk menggoreng ayam ini ke dalam pinggan
Panaskan minyak dan ambil hirisan ayam satu persatu celop dalam telor dan gaul rata ayam atas tepong sebelum digoreng dengan minyak yang panas
Gunakan api kecil ketika menggoreng yer
Bila dah kekuningan boleh diangkat dan hidang dengan sos cili 


Walla...nampak tak rangup...hidangan ni kena makan panas-panas tapi kena hati-hatila yerr..sebab kalau sejuk dah tak rangup mungkin sebab ada salutan telor tu..cubalah yerr

Alhamdulillah anak-anak suka..hubby pun terliur minta simpankan bila kami post gambar di whatsapp group hehe..

~yms~

Tuesday, 13 September 2016

Homemade Roti Canai Lagi....


Jom kita sarapan roti canai buat sendiri...saya guna mixer untuk uli kali ni mudah dan tidak memenatkan hehe...

Kebetulan ada kuah kari daging lebihan semalam...saya uli doh roti canai ni..
Masa saya remaja dan kami sekeluarga menetap di Kuala Lipis dulu..menu ni memang pilihan kami bila semua balik bercuti saya uli sehingga sekilo jenuh juga laa..sekarang tiada alasan jika ada alat yang memudahkan utk kita menguli!


Saya pernah kongsikan resepi roti canai sebelum ni...cuma kali ni saya letak telor sebiji dan gunakan air suam.

Resepi Roti Canai
ymscreations

4 cawan tepung
2 sdb planta
1 1/2 cawan air suam
1 sdb susu pekat
1 sdb gula
1 sdk garam

Masukkan kesemua bahan dalam bekas mixer dan kemudian adun gunakan mixer.

Biarkan mixer hingga 10 minit nampak adunan lembut dan licin boleh dikeluarkan

Bulatkan seperti gambar no1 di bawah dan sapukan dengan planta di seluruh adunan yang dibulatkan tadi, buat satu persatu.

Perapkan..saya perap sejam sahaja (kalau nak lg lembut uli malam dan tebar pagi).

Tebar di atas dulang hingga nipis spt gambar no2 lipat 4 spt no3.

Panaskan kuali leper dan leperkan spt no 4 gunakan  api kecil ketika menggoreng (goreng ertinya letak sedikit minyak dan planta atas kuali leper). Balik2 kan hingga masak spt no 6.

Boleh di angkat dan dimakan panas2
 dengan kari daging


Oh ya..jgn lupa ditepuk sebaik shj diangkat dari kuali spt gambar di bawah yer..



Hati-hati ye saya guna plastik utk kurangkan rasa panas.


Jom makan semua...wahhh enak banget kok..alhamdulillah...terliur ker! jom la buat!

~yms~

Lontong Daun Pisang di Pagi Syawal 1437H

Throwback!!

Tetiba teringat Lontong yang enak masa raya aidilfitri baru-batu ni...
Sekejap masa berlalu...smlm aidiladha menjelma dan berlalu pergi... Namun kenangan indah tak pernah pergi sentiasa bermain dalam ingatan..jom throwback dgn saya hehe...

Masih segar dalam ingatan..Lontong hasil air tangan sendiri berjaya dibuat. Seronok tidak terkata..bersungguh hubby menebang pokok pisang awak utk dapatkan Lontong yang cantik bewarna hijau.

Tahun ni kami beraya di rumah mak mentua. Hubby bersungguh nak buat Lontong disebabkan anak-anak memang sukakan Lontong..

Alhamdulillah ramai yang menolong kerja jadi kurang bila ada kerjasama ni..

Merebus Lontong ni ambil masa enam (6) jam atau utk lebih hijau cantik lanjutkan hingga 8 jam.


Tu dia lontong yang sudah dipotong dan sedia utk dimakan waktu sarapan sebelum solat hari raya.


Saya sediakan juga Kuah Lodeh yang jika tiada seperti tidak cukup syarat jika makan Lontong ni..


Ayam kicap yang dimasak oleh biras saya juga menjadi hidangan utama utk dimakan bersama lontong. Rendang daging memang hidangan wajib dipagi raya..yang meletop bila lontong dimakan bersama lauk pauk tadi woww anak-anak dan suami memang tak cari yang lain..



Yang paling gembira lontong kami berjaya menjadi menu tradisi yang utama..dan disukai oleh anak-anak buah lain..ketupat turun ranking yerr jadi yg kedua..kan meletop tue!

Alhamdulillah..

~yms~

Monday, 12 September 2016

Nasi Beriani di AidilAdha 1437H


Assalamualaikum wbt kepada semua pelayar blog ymscreations yang dihormati sekalian.

Pada hari raya Aidiladha pada tahun ini saya tidak ke mana-mana kecuali menjenguk bapa saya di Meru, Klang selepas solat sunat dan selesai menyediakan juadah Nasi Beriani, Ayam Masak Merah dan Kari Daging.


Nasi beriani menggunakan beras basmathi faiza dan rempah juga dari rempah faiza. Resepi saya ikut dalam aturan yang ditulis dirempah beriani faiza ni hasilnya sangat puas hati. Saya taburkan daun ketumbar selepas nasi masak dan titiskan pewarna kuning.


Kari daging bersama kentang dan karot saya juga gunakan rempah kari faiza yang dicampur dengan rempah kari daging yang saya beli dari kedai arab Berkat Madinah..saya campurkan juga dengan rempah biji ketumbar dan jintan manis.
     

Ayam masak merah...resepi dalam blog ni dah ada kan..sila cari yer...

 
Acar jelatah nenas, timun dan karot bancuhkan dengan cuka, sedikit garam dan sedikit gula.

Alhamdulillah....nasi beriani dan ayam masak merah saya habis, lebihan kari daging saya dah ada idea utk dibuat apa hehe juga lebihan acar saya simpan utk hadikan lauk. Jangan membazir kan tak elok...




Alhamdulillah..

~ yms~

Sunday, 11 September 2016

Paceri Terung Sedap!

Menu berbuka pada 9 Zulhijjah 1437H saya dan si abang sulong adalah pajeri terung dan ikan goreng. Alhamdulillah tengoklaa sangat selera anak-anak makan termasuk Ammar Hayyan yang mengaku berpuasa siap betambah nasi lagi..hehe gara-gara si pejeri terung pemikat selera!


Saya pernah kongsi resepi pajeri terung dalam blog ni cuma kali ni saya letak udang basah seperti Kak Azie @Azie Kitchen. Jom la masak..

Resepi Pajeri Terung
ymscreations

7 biji terung sederhana dibelah dan digoreng
10 ekor udang basah yang kecil
2 sdb rempah kari daging
5 ulas bawang merah kecil dikisar
3 ulas bawang putih dikisar
2 sdb cili kisar
1/2 inci halia dikisar
1 sdb udang kering direndam dan dikisar
1 cawan santan pekat
2 sdb kerisik
1/3 cawan air asam
Garam dan gula secukupnya
Rempah ratus (bunga lawang, kulit kayu manis & buah pelaga)
1 btg serai diketuk

Tumiskan rempah ratus, serai, bahan kisar dan masukkan cili kisar hingga garing 
Masukkan rempah kari yg telah dibancuh dgn air dan udang kering kisar tumis hingga garing
Masukkan santan dan biar mendidih masukkan air asam dan udang basah
Perasakan garam dan gula 
Masukkan kerisik dan terung
Bila kuah dah kering sedikit dan naik minyak boleh diangkat


Walllaaa...saya suka sangat tengok terung yg berubah warna dari purple ke kelabu selepas digoreng dari kelabu ke hijau selepas dimasak pajeri! Suka! dan Sedap!.. Tengok pun da geram..masa berbuka olala enak banget memang menikmati lahhh..

Alhamdulillah...

~yms~




Saturday, 3 September 2016

Lepat Pisang Sedap!

Cerita pasal pisang yang masak mendadak ni pening juga..lepas selesai masak rehat sekejap dan terus lenyek pisang dalam 3 sisir untuk dibuat Lepat Pisang..


Lepat Pisang
ymscreations

3 cawan pisang dilecek
1/2 cawan tepung gandum
4 sdb tepung beras
1/2 cawan gula
1/2 cawan santan
1/2 keping gula kabung dihiris
1/2 sdk garam
1 cawan kelapa putih digaul dgn sedikit garam
Daun pisang dilayur, dilap dan dipotong mengikut saiz

Campurkan pisang lenyek, tepung gandum, tepung beras, garam dan santan ke dalam bekas dan gaul rata
Panaskan kukusan air
Letakkan sesudu bahan adunan ke atas daun dan letak kelapa kemudian tambah sesudu lagi adunan dan bungkus seeloknya


Saya rujuk resepi Masam Manis yang mana turut mengambil resepi dari Sinar Kehidupanku..terima kasih Kak Azlita dan Kak Yatie..

Alhamdulillah sedap resepi ni..
~yms~

Masak Lemak Cili Api Pisang Muda..

Assalam...

Lama tak bersiaran...hari ni saya nak kongsi menu yang menarik tertarik!
Pisang lemak manis ni hubby tebang waktu balik ke kampung waktu cuti hari merdeka baru-baru ni..
Setandan dibawa balik, saya simpan dalam peti sesisir pisang muda utk dimasak lauk..
Selebihnya terus masak keesokan harinya..



Ini dia..Masak Lemak Cili Padi Pisang Muda..ermmmm sedap sungguh!!..pisang muda ni jika dimasak kari pun sedap..kali ni teringin Masak Lemak Cili Padi..jom resepi!

Resepi Masak Lemak Cili Padi Pisang Muda
ymscreations

1 sisir pisang muda lemak manis
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
7 biji cili padi*
1 inci kunyit hidup*
1/2 gengam ikan bilis
1 ulas bawang putih*
1 ulas bawang merah kecil*
1 batang serai
Garam secukup rasa

Bersihkan pisang, asingkan kulit dan isi pisang  dipotong dan dicelur
Tumbuk bahan yang bertanda * hingga lumat dan tumbuk ikan bilis kasar
Panaskan periuk dan masukkan santan cair bersama bahan tumbuk serta ikan bilis
Masukkan serai yang diketuk
Biarkan hingga mendidih dan pisang serta kulit pisang empuk
Masukkan santan pekat dan garam secukup rasa
Jika dah sebati boleh ditutup api dan dihidang


Sedap sangat menu ni..rugi kalau tak cuba..
Saya sangat suka kulit pisang tu...nampak tak..sedap tau!


Alhamdulillah..

~yms~

Sunday, 10 July 2016

Samperit/ Dahlia Nutella

Alhamdulillah...

Dapat juga siapkan biskut untuk dibawa balik kakak ayra..'nak bawa biskut yang mama buat!'...gagahkan diri juga nak siapkan biskut hari ni. Esok nak bertolak ke Penang.


Resepi sama seperti yang ada dalam blog ni cuma saya asing kan jadi dua bahagian dan campurkan dua sudu besar nutella dalam adunan. Saya buat dua versi, satu lagi adunan saya tak campur nutella dalam adunan cuma diletakkan nutella di tgh bunga dahlia yang sedang mekar itu...hahaha



Gambar atas belum dibakar yer...
Yang di bawah sudah dibakar...rajin-rajin cari resepi dalam blog ni yer!


Dah sejuk susun dalam balang...cantek kan bunga dahlia saya hehe...alhamdulillah puas hati!


~yms~

Tart Nenas Landak Eksklusif !

Salam Syawal ke 5 1437H...hari ini kami tidak ke mana-mana. Saya nekad nak sediakan biskut untuk anakanda yang akan pulang ke Kepala Batas esok. Alhamdulillah..dapat siapkan biskut Semperit Nutella dan Tart Nenas Landak yang sangat sedap!. Tapi tak sabar nak upload Tart Nenas yang sedap ni dulu!



Saya ambil resepi dari blog Kak Azie..menjadi!
Semperit Nutella dari blog Kak Azlita..cuma mungkin sukatan tepung saya tak kena agak keras, aduhai sakit tangan menekan..akhirnya guna juga resepi asal yang saya pernah guna sebelum ni..

Inti tart nenas ni pun saya guna resepi Kak Azie! . Sebab apa saya namakan Eksklusif  tau..sebab biskut ni susah nak jumpa yang sedap dan design sebegini! Nak buat kena awal bagi masa ni kita tak penat kalau malam aduhaii jenuh nak habiskan satu adunan. Yang menggentel pulak sorang lagilah..fuhhh memang mencabar buat biskut ni!. Tetapi hasilnya sangat puas hati..takpercaya silalah cuba!



Inti tart nenas ni saya guna 2 biji nenas kisar guna food processor, masukkan dalam periuk campurkan gula 3 senduk ikut kemanisan, daun pandan, bunga cengkih dan kulit kayu manis. Buka api perlahan, sentiasa kacau sehingga air kering. Jangan isi air langsung yer!

Resepi Tart Nenas Landak

200g mentega anchor
300g tepung gandum diayak
4 sdb tepung jagung diayak
3 sdb gula ising/ halus
2 biji kuning telor
Gunakan kuning telor utk sapuan

Campur semua tepung dan gula dalam bekas dan gaul dengan mentega yg dipotong dadu
Jadikan seperti serbuk roti
Campurkan telor kuning dan adun sebati
Masukkan dalam peti sejuk selama 20 minit
Masukkan inti jem nenas tadi yg telah dibentuk bulat
Bentukkan seperti dalam gambar menggunakan gunting
Bakar hingga 20 minit dgn kepanasan 150 darjah celcius. 



Saya pun first time buat tart ni...terliur punya pasal dan dah lama simpan hasrat dihati gagahkan juga la membuatnya! .
Mungkin selepas ni boleh buat dengan cepat sebab tangan dah mahir hahaha..


Saya gembira sebab kejadiannya sangat sedap dengan pastri yang gebu dan jem yang sangat menepati cita rasa...aduhaii cair dalam mulut!..

Alhamdulillah..

~yms~

Tuesday, 5 July 2016

Salam Aidilfitri 1437H...Persediaan 1 Syawal!

Alhamdulillah hari ni hari ke 30 kita melunaskan kewajiban berpuasa di bulan ramadhan yang mulia..bermakna bulan yang penuh barakah ini akan meninggalkan kita..semoga Allah SWT memberi peluang utk kita bertemu bulan ini ditahun hadapan...




Jom kita sambut 1 Syawal dengan kesederhanaan dan rasa kesyukuran..tetap merasai kemeriahan..
Tahun ni saya dan keluarga menyambut 1 Syawal di kampung suami di Parit 3, Sg Burong, Tjg Karang, Selangor. 

Saya dan hubby memasak menu seperti dalam gambar di bawah dibantu biras, abang dan adik ipar. Menu selebihnya esok awal pagi akan disediakan..



Rendang daging..resepi cari di dalam blog ini yer!


Siap 4 kilo daging!


Penyediaan lontong daun pisang yer! Saya guna daun pisang awak hijau nanti bila dipotong..


Dah siap! Resepi pun ada dlm blog ni..


Daun ketupat yang siap dianyam oleh saya dan hubby! Fuhhhh..


Ketupat Lemak! Rebus dengan santan dan garam kasar, saya buat dalam 40 biji, santan 1/2 kilo dan 1sdb garam kasar serta air. Rebus 4 jam ye!


Salam Aidilfitri kepada semua pelayar blog saya..maaf zahir dan batin! 

Alhamdulillah

~yms~


Monday, 4 July 2016

Roti John Cheese Menu Bersahur Penghujung Ramadhan...


Assalam, 

Semoga kita masih diberi kekuatan untuk     beribadah di bulan mulia ini...

Menu kami bersahur bagi melunaskan ibadah bersahur sejak akhir-akhir ni adalah Roti John...

Kebetulan saya membeli daging kambing di Berkat Madinah Ampang. Ternampak roti ni masa tu panas-panas lagi baru letak dalam bakul..sebatang RM0.50..murah dan sedap!




Resepi Roti John Cheese
YMSCREATIONS

4 keping roti yang bentuk memanjang 
2 biji telor
4 sdb daging ayam cincang
2 sdb serbuk kari
1 biji bawang potong dadu
Hirisan daun sup
Garam secukup rasa
2 sdb planta
Mayonis
Cheese (yg sudah bercampur)
Sos cili
Minyak utk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang hingga layu
Masukkan serbuk kari dan tumis hingga garing dan masukkan ayam cincang
Biarkan hingga daging ayam masak perasakan garam boleh diangkat
Pukul telor dan masukkan ke dalam daging tumis tadi dan tabur daun sup
Panaskan kuali leper dan masukkan sesudu planta
Letakkan bahan tadi muat-muat utk 2 batang roti yang dibelah, rujuk gambar di bawah



Balikkan roti dan taburkan cheese
Balikkan bbrp saat bg cheese mencair


Angkat roti dan sapukan mayonis serta sos cili
Potongkan utk dimakan..wallaaa...
Buat utk bekal anak-anak ke sekolah, minum petang dan sarapan pagi memang berkhasiat..



Alhamdulillah 

~yms~



Saturday, 25 June 2016

Rendang Ayam Maman..#bekal kakak

Anak perempuan tunggal saya akan balik ke Penang tengahari ini selepas pulang sejak jumaat baru ni..sabar ye kakak jumaat akan datang dah balik ke rumah semula utk cuti raya..

Saya sediakan Rendang Ayam Maman utk juadah berbuka, saya bekalkan nasi impit dan nasi putih. Tidak lupa juga sambal tempe, kentang dan ikan bilis.


Resepi Rendang Ayam Maman
YMSCREATIONS

1/2 ekor ayam
1 mangkuk daun maman
5 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
2 btg serai*
5 biji cili api *
2 sdb cili kisar
1 cawan santan pekat
Sedikit  air masak
1 sdb kerisik
1 senduk minyak
Sedikit gula dan garam

Kisar bahan bertanda *
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar berserta cili kisar
Biar hingga garing dan masukkan ayam yg telah dibasuh dan biar hingga kering air
Masukkan santan pekat dan sedikit air
Masukkan daun maman ( jgn kerap dikacau )
Kecilkan api biarkan reneh hingga kuah sedikit kering


Saya tak letak daun limau purut dan daun kunyit sebab letak daun maman..


Alhamdulillah syukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan...

~yms~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...