Tuesday 27 January 2015

Asam Rebus Batang Keladi Bersama Udang


Saya suka sayur batang keladi, saya suka masak asam rebus, ana-anak saya pun suka hehehe macam tengah belajar buat ayat pualk gayanyer..hehehe.

Nak cerita kami sekeluarga memang menyukai menu ini, mudah dimasak dan sangat selera dimakan.

Nak siang dan bersihkan batang keladi ni kena la rajun sikit ye dak..kalau tidak macamana nak dimasak batang keladi ni..

Masak yang mudah-muadah ajer janji dapat dinikmati dengan penuh kebahagiaan hahaha.






RESEPI ASAM REBUS BATANG KELADI BERSAMA UDANG
YMS Creations

Bahan-bahan :

Seikat batang keladi (biasanya terdapat 2 pokok) siangkan dan rebus
5 biji cili api
Sebatang cili besar merah
Seulas bawang merah kecil
Seulas bawang putih 
1/2 ini belacan
Ikan bilis (agak-agakla buat perencah)
6-7 ekor udang segar
2 tangkai daun kesum
garam secukup rasa
sekeping asam keping 
2-3 cawan air / secukupnya

Cara memasak :

Keladi direbus terlebih dahulu kemudian dibasuh lagi dan ditos
Tumbukkan bawang, cili dan belacan
Panaskan air dalam periuk dan masukkan bahan tumbuk tadi 
Bila mendidih masukkan udang, daun kesum dan keladi yang telah direbus dan ditos
Masukkan asam keping dan garam
Bila dah mendidih dan rasanya sebati boleh diangkat 
Hidangkan dengan lauk pauk lain, ulam dan sambal belacan

Tengok kat bawah ni..haaaa tu dia sambal belacan dalam lesung batu..baru makan selera..sedap!!!

Terliur tak hahaha..ulam-ulaman jangan tinggal kalau nak kekal awet muda huhu (pucuk betik tuuuu & kecipir/kacang botol). 

Mudahkan..tak susah memasak..boleh menjimatkan dan kebersihan diutamakan...memang selera kami makan time nih! 

Alhamduliilah janji kita sihat untuk memasak..oleh itu jaga kesihatan dengan memakan makanan yang berkhasiat..

Sekian, pesanan untuk penaja!



                                      


~yms~

Monday 26 January 2015

Udang Galah Goreng Berempah

Assalam,

Udang galah lagiii...kali ni saya goreng je..selebihnya saya buat rendang untuk kali kedua dan buat sambal. Nantikan entrinya yer..

Goreng udang ni menu yang simple dan cepat namun tetap meletop bila di goreng hahaha. 




RESEPI UDANG GALAH GORENG BEREMPAH
YMS Creations

Bahan-bahan :

Udang galah (10 ekor)
Ketumbar biji - 1 camca besar (rendam)
Jintan halus - 1 sudu teh (rendam)
Jintan kasar - 1/2 sudu teh (rendam)
Rempah kari  - 1 camca besar
Sebuk kunyit  - 1 sudu teh
3 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah kecil
2 sudu tepung beras
1 biji telor
Sedikit garam
Sedikit air
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara :

Tumbuk ketumbar, jintan halus dan jintan kasar hingga lumat
Masukkan bawang putih dan merah tumbuk lagi hingga lumat dan sebati
Masukkan tepung beras, kunyit, serbuk kari dan garam ke dalam bekas dan gaul sebati
Masukkan bahan tumbuk tadi dan telor yang dipukul ringan ke dalam bekas
Gaulkan hingga likat bersama sedikit air. Jangan terlalu pekat dan terlalu cair.
Panaskan minyak dan celupkan udang, kemudian goreng hingga masak dan garing.
Hidangkan panas-panas ye ketika udang rangup cicah dengan sos yang disukai atau makan beserta lauk lain.

Yummmy!!!!

`yms~

Friday 23 January 2015

Cekodok Labu


Assalam, 

Saya suka Buah Labu dan automatik saya suka apa sahaja yang dihasilkan dari buah labu ni..
Labu adalah makanan Sunnah kan..sangat baik dan punya khasiat tersendiri, sila rujuk di SINI
Salah satu makanan yang sangat sedap boleh dihasilkan di sini adalah Cekodok Labu. Anak-anak , suami dan saya sendiri kalau makan taksedar dah habis sepinggan.









Sedap dan mudah..

RESEPI CEKODOK LABU
YMS Creations

Bahan :

1/4 Biji labu yang direbus dan dilenyek halus
3 cawan tepung gandum
1 cawan air suam
2 sudu teh yis mauripan 
1 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam

Cara :

Masukkan tepung gandum, garam, gula dan yis ke dalam mangkuk besar
Gaulkan sebati dan masukkan air suam ikut kesesuaian jangan pekat sgt auat cair sgt
Biarkan 1/2 jam sebelum digoreng dengan minyak panas
Gunakan jari untuk mendapatkan bentuk yang bulat dan comel-comel ye, goreng hingga masak kekuningan. Saya suka gelap sikit dan rangup
Hidang dengan air kopi atau teh 'o'..sedap tak terkata..






~yms~

Tuesday 20 January 2015

Pucuk Ubi Tumis Bersama Nanas


Assalam,

Nanas @ Nenas is my favorite fruit..sedari kecil saya suka buah-buahan. Hari ni saya nak kongsi nanas ini boleh dijadikan sayur selain dari makan begitu sahaja. Ini juga pada saya salah satu masakan jawa kerana nenek dan atok saya sangat suka masak lauk macam ni. Nanas dikombinasi bersama pucuk ubi memang sangat memikat selera. Tak percaya cubalah sendiri, tak tipu punya hahaha.

Pucuk ubi juga sayur yang sangat saya suka, pucuk ubi ni ada jenis yang boleh bagi kita hangin satu badan, ada yang tidak. Setakat bagi sendawa je takpe jangan perut penuh hangi dan merebak satu badan sudah..

Nak kongsi bahawa kedua-dua ciptaan Allah S.W.T ini punya khasiat yang sangat baik unuk kesihatan..nak tau info lanjut sila ke laman berkaitan untuk NANAS dan PUCUK UBI.







RESEPI PUCUK UBI TUMIS BERSAMA NANAS
ymscreations

Bahan yang diperlukan :

Secekak pucuk ubi
Sebiji nenas moris atau yang sederhana
2 ulas bawang kecil dihiris
1 batang cili merah dihiris
3 biji cili api dihiris bulat
2 ulas bawang putih -dihiris
1/2 inci belacan
ikan bilis secukupnya
sedikit air
garam secukupnya
gula secubit sahaja
minyak untuk menumis

Cara memasak :

Rebus pucuk ubi selepas disiang (perah hingga hilang air rebusan)
Nanas dikupas, dibuang mata (empulur jangan buang inilah yang plg baik untuk mencegah kanser) dan di hiris kecil (lihat gambar)
Panaskan minyak dan tumiskan bahan hirisan, ikan bilis dan belacan hingga sedikit garing
Masukkan garam dan gula, diikuti rebusan pucuk ubi dan nanas
Gaul hingga sebati dan sayur cukup lembut dan masak sempurna
Angkat dan hidangkan dengan lauk lain.


Sangat sedap hasilnya!!!

Nota : Pucuk ubi yang lembut ketika merebus sila letakkan sesedu teh garam dan 2-3 titik minyak masak yang bersih.





nanas..saya suka nanas - gambar dari google
Pucuk ubi - gambar dari google
Pucuk ubi rebus - gambar dari google


Saya kalau makan pucuk ubi memang suka tang pucuk bersama batangnya sangat sedap dan disitu letaknya khasiat sayur ni. Memang saya akan makan nasi bertambah jika ada lauk ini. Teringat zaman sekolah dulu, arwah mak bawakkan bekal sayur ini bersama ikan selar masak kicap..Allahuakbar sedapnya waktu rehat saya bila makan kombinasi lauk itu. Memang tak pandang makanan yang dijual di kantin sekolah. Huhh semeamngnya nostalgia..tidak boleh diundurkan semula waktu itu..hanya tinggal kenangan. Bila teringatkan masakan yang arwah masak, saya cari dan ingat kembali arwah ajar dan saya masak sendiri. Yelah siapa yang nak masakkan kita..lainlah kalau arwah masih ada..apapun saya redha semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang berimam di sisi Allah Taala..aamin





~yms~

Friday 16 January 2015

Kari Ikan Senohong @ Kurau


Pernah kenal ikan senohong tak? apa ? dalam pantun? owh yer..pantun seperti di bawah ni yer; 

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong,lama lama mencuri

Yer..biasa dalam pantun dengar tetapi jarang sangat kita jumpa di pasar-pasar biasa. Alhamdulillah saya berpeluang jumpa, beli, masak dan makan ikan senohong hehe. Harganya agak mahal juga sekilo dalam RM35++ mcm tu ikut saiz. Tetapi itu hanya sekali dapat peluang itu hingga kini belum lagi dapat. Nak kenal ikan sehohong? sila ke SINI saya ada kenalkan dalam segmen info.





Saya sediakan kari ni ketika pulang ke kampung halaman di Jalan Kempas Meru Klang, 15 minit jer dari rumah saya di Sungai Buloh. Masak kari macam orang lain masak kari juga cuma kali ni saya guna rempah kari daging. Bahan-bahan dan cara memasak sama sahaja dengan resepi-resepi yang melimpah-limpah di alam maya ni.

Selepas makan malam saya balik ke rumah kerana ada hal tak sempat jumpa adik bongsu yang pulang lewat sikit dari biasa.

Sampai je di rumah buatlah apa yang patut, selesai apa yang patut tu (tak perlu cerita di sini hehe) belek-belek la hp sekejap..sambil mengukir senyuman cik adik bongsu whatsapp " sedapnye kari ikan ni..lain dari yang lain"..alhamdulillah..seronokkan bila kita mengembirakan hati insan lain. Jangan sesekali kita mengguris perasaan orang lain samada dari tulisan atau percakapan apalagi menjatuhkan air muka sesorang. Jika kita ada sebab musabab yang baik pun perlulah berhemah..tak pun doakan sahaja yang baik-baik.

Nak certanya, ikan yang adik saya kata sedap tu mungkin kerana ikan senohong yang memang sedap kerana harganya pun boleh tahan, kesegaran ikan senohong tu dan penggunaan rempah kari daging. Oh ya satu lagi..rahsianya...~masak dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan~disertai salawat ke atas Nabi dan bacaan kalimah bismillahhirrahmanirrahim~
InshaaAllah..menjadi




 Sekian.

~yms~

Keluban Pucuk Paku dan Taugeh



Assalamualaikum w.b.t,

Di hari jumaat penghulu segala hari, saya mohon kemaafan kepada semua andai ada tutur bicara (tulisan) di blog saya yang tidak seberapa ini ada menyinggung atau mengguris hari sesiapa. Saya hanya insan biasa yang tidak punya apa-apa. Semua hamba Allah punya kesilapan, kadang-kadang tulisan atau tutur bicara kita jujur tetapi disalah erti oleh orang lain atau kita punya kesilapan yang tidak kita sedari. Saya ambil kesempatan untuk menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada sesiapa sahaja yang sudi membaca blog saya.






Ok, kita cerita berkenaan dengan sayur lagi..saya keturunan jawa jadi mestilah saya suka dengan makanan jawa kan. Kali ini kita cerita tentang Keluban Pucuk Paku dan Taugeh. Pucuk Paku dan Tauge punya khasiat yang tersendiri, saya memang suka tapi saya jarang ambil kerana bila makan angin satu badan mulalah sendawa tak berhenti. Tetapi dek kerana teringin sangat saya belilah juga kerana teringin sangat nak makan kerabu nih. Dalam pada angin tu pucuk paku dan taugeh ada khasiat yang baik untuk tubuh badan kita sila layari di sini untuk TAUGEH dan PUCUK PAKU.
Saya suka membaca khasiat pemakanan di blog yang link di atas, banyak info yang kita tidak maklum sebelum ini boleh didapati di sini.



Pucuk paku pakis hijau
Taugeh
Gambar taugeh dan pucuk paku saya ambil dari http://makanananda.blogspot.com (terima kasih)

Owh..satu lagi bahan yang penting untuk keluban ni apa dia...cekur kepada sesiapa yang belum tau rupa cekur macamana sila ke SINI untuk tahu info lanjut berkenaan cekur ye..

Ok..semua bahan utama untuk buat keluban sudah ada..jom kita masak keluban!


Resepi Pucuk Paku dan Tauge
YMS Creations

Bahan yang diperlukan:

1 mangkuk tauge dibersihkan dan disiram air panas
1 ikat pucuk paku pakis hijau dicelur
1 mangkuk kerang 
1 biji cili besar
5 biji cili api atau ikut kepedasan masing-masing saya memang tak boleh makan pedas
3 camca besar kelapa putih 
3 ulas bawang merah kecil
1/2 inci belacan digoreng dengan sedikit minyak 
1-2 biji limau kasturi atau air asam jawa
1/2 camca besar udang kering direndam
1 pokok ketul ubi cekur (yang ada daun sekali)
daun cekur dihiris halus 
garam dan gula secukup rasa

Cara memasak :

Tumbuk cili besar, cili api, bawang besar, udang kering, belacan, garam dan gula hingga lumat 
Perahkan limau kasturi @ air asam jawa ke dalam bahan tumbuk tadi  
Gaulkan bahan tadi dengan kelapa putih
Sangan (tanpa minyak) dalam kuali dengan api perlahan 
Agak-agak kurang lembab dan hampir kering masukkan kerang dan gaul rata tutupkan api  
Campurkan sayuran tadi gaul hingga rata dan angkat
Hidangkan dengan lauk pauk lain dan nasi panas seperi ikan masin, ikan goreng dan ayam masak kicap.

Mak aihhh..memang sedap banget lahh...hehe..cuba jangan tak cuba.





~yms~

Thursday 15 January 2015

Ketam Masak Lemak Cili Api Bersama Buncis

Selamat Sejahtera Semua..

Jom kita masak ketam hari ni...
Semua kita suka ketam kan..tetapi ada juga yang tak suka..
Kadang-kadang bukan kita yang tak suka tetapi tak boleh suka sebab allergic..
Anakanda saya yang ke-3 sejak kecil ada eczema, jadi seafood ni memang pantang..
Tetapi dek kerana Haziq ni penggemar ketam, saya izinkan jugalah untuk berikan setakat separuh hingga seekor sahaja sambil minta pada Allah S.W.T semoga dikurangkan kesan selepas  makan makanan dari laut yang sedap nih..aamin








Resepi Ketam Massak Lemak Cili Api Bersama Buncis
ymscreations


Bahan yang diperlukan :

Sekilo ketam atau 5 ketam saiz besar 
5-9 Cili api ikut kepedasan
1 ulas bawang kecil
1 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
1 mangkuk santan cair
1 mangkuk santan pekat
10 batang sayur buncis
1 batang serai
1 helai daun kunyit
1 keping asam keping
garam secukup rasa


Cara memasak :

Tumbuk cili api, bawang kecil, bawang putih, kunyit dan halia hingga lumat
Panaskan sedudu santan pekat di dalam periuk
Tumiskan bahan tumbuk tadi bersama santan pekat yang dipanaskan ke dalam periuk 
Biar hingga wangi jangan sampai hangit 
Masukkan serai dan santan cair
Bila sudah mendidih masukkan ketam dan sayur buncis
Bila separuh masak masukkan santan pekat dan sehelai daun kunyit
Perasakan dengan garam
Biarkan mendidih pastikan sentiasa dikacau jangan pecah santan
Bila ketam dan buncis sudah masak sempurna boleh diangkat dan hidangkan 






~yms~

Wednesday 14 January 2015

Tumis Kailan Lemak

Assalam,

Sayur sangat berkhasiat untuk tubuh badan kita, sayur hijau punya vitamin k, vitamin c, karotena, lutien dan kaya dengan kalsium. Rupanya sayur Kai Lan atau kale  ini punya bahan yang mengurangkan sulfur. Paling menarik ianya lebih baik dari tenusu yang membekalkan sumber kalsium yang baik. Alhamdulillah saya memang kerap makan sayur termasuk kailan ini, susu memang saya sangat kurang ambil jadi makan sayur kailan ini memang berganda khasitnya bagi saya yang sangat kurang mengambil susu. Nak tau info lanjut sila rujuk di sini.
Saya nak kongsi resepi sayur kailan tumis lemak nih,,,sedap dimakan dengan lauk lain kerana santannya pun tidak seperti masak lemak yang lain. Asyik masak kailan ikan masin jer..ubah selera pulak lah kan..





Resepi Kailan Tumis Lemak
ymscreations

Bahan-bahan :

Seikat sayur kailan yang segar (asingkan batang dan daunnya)
2 ulas bawang merah kecil dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
Ikan bilis - 1 sudu besar yg telah disiang
Sebiji cili merah - dihiris
1 cawan santan - kepekatan medium
1/4 inci belacan 
Sedikit minyak untuk menumis
Garam secukup rasa

Cara memasak :

Tumis bahan hiris, belacan dan ikan bilis
Biarkan sedikit garing dan naik bau masukkan batang kailan biarkan agak lembut baru 
diikuti sayur kailan
Masukkan santan dan garam, biar mendidih dan sayur lembut, boleh diangkat
Hidangkan dengan lauk-lauk lain memang sedap sekali!








~yms~

Khasiat Pucuk Betik dan Buah Betik

Assalam,

Kenal tak daun ni?...sangat sedap dibuat ulam atau kerabu..saya amat menyukai mu pucuk betik hehe



Ihsan dari google

Bicara hari ini perihal pucuk betik yang sedap dimakan walaupun rasanya agak pahit, tapi saya suka. Pahit tu ubat kan...jadi cubalah telan kerana ianya penawar dan memberi khasiat yang sangat tinggi. Di teratak kami, saya seorang saja yang suka makan pucuk betik ni, sedap direbus hingga lembut dan cicah dengan sambal belacan atau tempoyak. Saya cuba tanam popok betik dengan menabur benih dari buah yang merah dan manis dari Pasar Tani tapi belum ada rezeki pokok betik ni hidup subur di laman kami. Baru nak hidup tercantas pulak oleh mamat yang mesin rumput di laman kami tu..hmm memang belum ada rezeki namanya.Teringat untuk menulis artikel ni bila semalan mendapat berita anak rakan baik saya Kak CT Khadijah warded di HKL kerana serangan demam denggi. Semoga Allah S.W.T beri kekuatan kepada  Luqman untuk melawan virus denggi yang jahat itu..aamin. 



Teruja nampak pucuk betik, saya beli di kedai pasar nelayan ambik sekali ulam-ulaman dan sayur kampung 

Petang itu juga saya rebus untuk dimakan dengan sambal tempoyak..hmmm saya seorang je yang makan..sedapp sangat!!

Jom kita lihat apa khasiat pucuk betik ni :


Khasiat Pucuk dan Daun Betik

Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah darah tinggi, pemakanan harian sememangnya perlu dijaga. Menggunakan pucuk dan bunga betik boleh menurunkan darah tinggi atau hypertension . Apa yang perlu anda lakukan adalah mencelurkan pucuk bunga betik itu di dalam air panas sehingga ia masak lalu dimakan. Ia juga boleh dijadikan kerabu atau dimakan dengan sambal belacan. Rasanya mungkin sedikit pahit tetapi itulah khasiat pucuk betik: untuk mengubati penyakit darah tinggi.

Pucuk betik juga dapat memperbanyakkkan susu badan bagi yang menyusukan badan.

Jika anak atau orang dewasa demam jus betik boleh dicampur dengan air biasa dan dimandikan selama tiga hari berturut-turut. Ianya dapat menurunkan panas badan.

Selain pucuknya, jus daun betik pula boleh menjadi ubat yang sangat mujarab, dan berupaya mengatasi banyak masalah atau penyakit. Contohnya apabila diserang denggi, malaria etc. Jus daun betik berupaya untuk menggandakan pengeluaran sel darah yang baru supaya sel darah yang rosak akibat serangan virus denggi dapat diganti segera.Cara menyediakan air daun betik untuk demam denggi

1. Ambil dua helai daun betik yang tidak terlalu tua dan tidak pula terlalu muda
2. Buang semua urat daun yang kasar. (kalau rajin buang yang halus juga) kita hanya perlukan           
    sahaja.
3. Bersihkan daun tersebut
4. blender dengan segelas air. (agak-agak saja)
5. Panaskan air daun betik itu dengan api yang sederhana sehingga tinggal sesudu atau dua sudu
6. Minum sesudah air itu sejuk secara semula jadi jangan bubuh ais.
7. kalau sanggup boleh diminum mentah tanpa direbus.
8. Ingat pahinya bukan main.

Cara penyediaannya adalah seperti berikut:-

1. Bersih pucuk betik/daun
2. Keratkan sepanjang 1 sentimeter
3. Masukkan 1.5 liter air ke dalam kuali bersama pucuk, dan rebuskan selama 30 minit.
4. Seterusnya air boleh diasingkan daripada pucuk betik dan sedia untuk diminum dalam keadaan panas atau suam.

Daun betik yang dilayur di atas api dan dilekapkan pada bahagian yang sakit otot boleh mengubati sakit otot. Bagi mengubati sakit sendi pula, meminum air perahan dari daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau nipis boleh membantu. 

Info asal dari sini



Ihsan dari google




Khasiat Buah Betik

Macam-macam khasiat yang terdapat pada betik. Dari daun, getah, butir semua mempunyai khasiat yang tersendiri! 

Dikalangan masyarakat di India, buah betik dimakan bukan sekadar untuk memudahkan sistem penghadaman atau pelawasan tetapi juga dianggap sebagai satu kaedah menjarakkan anak – khas untuk mereka yang ingin membuat perancangan keluarga secara tradisi (family planning).


Merawat hemoroid atau buasir dan sembelit

Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C, ia berkesan merawat buasir, memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit. 

Merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan

Caranya, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi. 

Mengubati tumit pecah-pecah

Salah satu daripada rawatan tradisional bagi mengubati masalah tumit pecah ialah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu dibahagian tumit yang pecah. InsyaAllah masalah tumit pecah akan dapat diatasi. 

Wajah sentiasa awet muda

Khasiat buah betik selalu dikaitkan dengan pengawalan dan pengurangan berat badan disamping menghaluskan kulit dan mampu menjadikan wajah awet muda macam wajah saya nie. Barunie kawan tempat keje kabo kita baru 19 tahun. Mungkin effect makan betik jugak kot nie huahuah! 

Menyingkirkan cacing gelang dan cacing kerawit

Biji betik pula dapat menyingkirkan cacing gelang pada kanak-kanak. Caranya ialah dengan mengambil segenggam biji betik dan tumbuk hingga hancur kemudian direbus dan diminum oleh kanak-kanak tersebut. Tetapi awas, ia dipercayai tidak berapa sesuai untuk wanita yang sedang mengandung. 

Melegakan kesakitan gigi yang berlubang

Getah betik berguna bagi  melegakan sakit gigi berlubang dengan cara menitikkan getah pada lubang gigi tersebut atau boleh juga menggunakan kapas. 

Menghentikan pendarahan

Daun betik yang ditumbuk lumat kemudian dicampurkan dengan sedikit garam dan kemudian dilekapkan pada tempat yang luka dan dibalut dapat menghentikan pendarahan.


Buah betik memang punya khasiat yang sangat baik, bukan sahaja rasanya manis, sedap dimakan tetapi memberi kesan yang sangat baik untuk kesihatan Hiduplah pokok betik yang saya cuba tanam baru-baru ni semoga hidup dengan subur tanpa gangguan..aamin.



Ihsan dari google
                                   


~yms~








Tuesday 13 January 2015

Ikan Merah Masak Szechuan


Assalam,

Mengenali jenis masakan ni bila mak mertua masakkan ketika saya pantang bersalin dulu. Anak-anak oun makan dan mula menyukai menu ni. Hubby sudah tentula menu dari bonda tersayang dia. Sejak itu saya pelajari dari mak mertua bahan-bahan dan cara nak memasak masakan ni. Ikan apa pun boleh, dalam menu kali ni saya guna ikan merah. Kebetulan ikan itu yang ada dalam stok. Rasa masakan ini masam-masam sikit jadi kepad asesiapa yang tekak tak berapa nak makan loya ataupun sedang tak sihat..jom kita cuba resepi ni.

Ohh yer..nama resepi szechuan yer...saya dan anak-anak sebut cencuan shortcut rasa senang nak sebut..bukan pelat ye..hahaha..layan kan aje la mokcik nihh

Resepi Ikan Merah Masak Szechuan (Cencuan)
YMS Creations

Ikan Merah - 2-3 keping perap dengan garam dan kunyit 
1 biji bawang - dipotong bulat
1 inci halia - dihiris nipis
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah - dihiris memanjang buang biji
1 biji cili hijau - dihiris memanjang buang biji
1 cawan air asam jawa - 2 inci asam jawa
1 sudu kecil serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Secubit gula

Cara-cara :

Ikan yang diperap seketika kemudian di goreng hingga masak
Kurangkan minyak menggorang ikan tadi dalam kuali
Tumiskan bawang merah dan bawang putih tadi hingga layu
Masukkan serbuk kunyit dan cili merah dan hijau
Masukkan air asam jawa, garam dan gula, biarkan mendidih
Baru masukkan ikan yang sudah digoreng tadi dan tutup api.
Hidangkan dengan nasi panas dan sayuran lain..

Wahh sedapnyer hingga menjilat jari...cuba kalau tak percaya !!



~yms~

Sunday 11 January 2015

Khasiat Cekur

Assalam,

Cepat sungguh masa berlalu anak-anak pun dah nak masuk semula sekolah. Apapun syukur kehadrat Allah S.W.T kerana masih diberi nafas di muka bumi Allah ini.

Awal pagi tadi saya sempat mengemas laman di hadapan rumah saya. Aduii sakit pinggang dah lama sangat tak mencangkul tapi saya puas hati melihat laman bersih dan pasu-pasu yang lama tak berjaga bersih dan teratur. Pokok-pokok ada yang dah mati dek anai-anai dan ada yang sedang naik dengan suburnya. nantikan entri saya perihal hobi bekebun saya yer.







Hari ni nak kongsi perihal "Cekur" hmm biasa tak dengan cekur? haaa jawapannya ada diri pembaca budiman sekalian. Cekur ni sangat banyak khasiat untuk tubuh badan kita terutama wanita tau. Saya teringatkan cekur ni sebab dok berkebun pagi tadilah, dulu saya ada tanam cekur ni dalam 3 kali rasanya tapi semuanya tak dapat hidup dengan subur. Mungkin tanah atau panas saya pun kurang pasti. Saya nak cari benih atau ubi cekur ni untuk ditanam semula inshaaAllah. Ubi Cekur ni saya suka buata PECAL, KELUBAN dan IKAN PECEL, daunnya dihiris dan masukkan dalam masakan tadi. Sedapp memang terbaik bukan setakat rasa tapi khasiatnya. terima kasih kepada kakaksepit.blogspot.com dan www.deliciousmalaysia.com saya share photo sebab belum berjaya menanam pokok cekur lagi!!..Coming soon yer...

Jom kita lihat khasiat cekur ni..





Nama Botani : Kaempferia galanga
Famili : Zingiberaceae (keluarga halia)Cekur nie  merupakan tumbuhan dalam famili halia iaitu zingiberaceae. Pokok cekur terdiri daripada dua hingga lima helai daun yang tebal berbentuk bujur telur dan bunganya berwarna putih keunguan. Cekur boleh membiak melalui isinya @ rizom. Tempoh matang rizom cekur adalah diantara 8 hingga 10 bulan selepas ditanam.
Rizom atau umbisi cekur mempunyai aroma yang agak lembut, Rizom cekur mengandungi sebatian minyak pati sineol, borneol, kamphere, asid sinamik dan beberapa sebatian minyak yang lain. Antara khasiat cekur nie adalah seperti berikut :

1.  Tonik lepas bersalin, bagi mengecutkan rahim.
2.  Menyembuhkan kembung perut,
3.  Melegakan perut memulas
4.  Mengurangkan bengkak.
5.  Melancarkan Haid.
6.  Melegakan batuk.
7.  Sakit urat saraf
8.  Senak perut
9.  Buang angin
10.Sakit sendi.
11.Muntah


Daun cekur muda dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu. Rizomnya juga digunakan sebagai ramuan masakan. Orang jawa kat malaysia nie gunakan rizom cekur untuk buat kuih tempeyek, Orang melayu dulu-dulu gunakan rizom cekur, jerangau dan rempah-rempah lain untuk mengubati malaria. Kat indonesia cekur digunakan oleh wanita lepas bersalin untuk panaskan bahagian perut, bengkak dan kebas otot.

Pokok cekur mempunyai daun yang sederhana lebar, tebal dan berwarna hijau manakala bahagian bawah daunnya berwarna hijau muda dan isinya pula berwarna putih.

Pokok ini mudah didapati di kampung dan ramai suri rumah menanamnya di dalam pasu bunga. Selain digunakan sebagai bahan masakan, ia sering dijadikan ulam oleh wanita terutama selepas bersalin.

Selain dimakan begitu saja, amalan merebus pokok dan akarnya juga dilakukan. Air rebusan itu akan diminum oleh penggemar herba tradisi ini.

Khasiatnya dikatakan boleh mengembalikan tenaga terutama bagi wanita selepas bersalin dan mereka yang berasa kurang bermaya. Kepada mereka yang mengamalkannya secara berterusan, ulam ini turut membantu melambatkan kesan penuaan.

Cekur juga boleh menghilangkan gatal tekak dengan mengunyah isinya. Terdapat sejenis lagi cekur yang amat berkhasiat dalam tradisi perubatan Melayu.

Cekur yang disebut sebagai cekur merah ini berdaun perang dan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu tetapi ada juga spesies yang mengeluarkan bunga berwarna ungu.

Cara Penanaman Cekur  ( Wahh jom tanam cekur)

Cekur sesuai ditanam di keliling rumah dalam program “Bumi Hijau” yang dianjurkan oleh kerajaan.Benih cekur diperolehi dari pokok sedia ada atau beli rhizom dari pasar tani atau pasar biasa. Pastikan benih masih elok dan belum kering serta mempunyai tunas yang baik. Sebaiknya untuk ditanam dalam pasu atau dalam bekas khas (Kotak daripada tin atau plastik) yang diisikan dengan tanah campuran (3:2:1 – Tanah, pasir dan baja organan) serta mempunyai lubang air keluar. 

Masukkan benih 2-3 cm dalam tanah dan buat penyiraman. Bagi tanaman di kebun sebaiknya sediakan batas untuk elakkan dari takungan air. jarak tanaman antara 30 -60 cm bergantung kepada saiz batas. Kawasan kecil diperlukan untuk menanam cekur secara komersial. Belum ada rekod kawasan tanaman cekur secara meluas melebihi 1 hekar satu tempat.

Pembajaan tanaman cekur mudah iaitu dengan baja organik (tahi ayam proses) sama ada tanaman di dalam pasu atau pun dalam kebun. Baja 15:15:15 lingkungan 10 – 15 gm/pokok pada peringkat vegetatif serta baja NPK 12:12:17:2 apabila pokok hampir matang. Cabut rumpai dalam pasu dengan tangan dan elakkan daripada pokok cekur cedera ketika mencabut rumpai. Antara musuh tanaman cekur ialah serangan siput babi, siput kecil, belalang, cengkerik dan ulat makan daun (Spodoptera litura) . Kawalan disyorkan ialah dengan mengutip musuh jika ditanam dalam pasu. Penggunaan racun serangga tidak digalakan bagi tanaman cekur.


Jom kita tanam cekur dan amalkan pemakanannya...bagus ni untuk kekal sihat dan bertenaga.

~yms~

Lesson Learned from School of Leadership Course

Assalamualaikum w.b.t,

Tulisan ini untuk saya jadikan rujukan bukan atas dasar lain. Ianya lahir dari hati dan apa yang akan saya kongsikan adalah pesanan dari KSU (Ketua Setiausaha NRE) di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang disampaikan dalam ucapannya dalam Kursus School of Leadership yang telah saya hadiri tahun 2014 yang lepas. Kita sama-sama didik hati kita untuk tidak cepat melatah dan hormat dengan pendirian orang lain sekalipun kita tidak setuju dengan apa yang disampaikan oleh sesorang. Dengar atau baca dan ambil yang baik untuk dijadikan panduan, jika tidak suka atau tidak bersesuaian diamkan sahaja dan doakan yang baik-baik supaya kita dan rakan kita akan menjadi lebih baik. Nabi Muhammad S.A.W mengajar kita untuk menjaga hati manusia lain adalah lebih baik, jangan ada iri hati salah sangka dan diam itu lebih baik jika kita tidak suka. (Pesanan dan ingatan untuk diri saya).



                                          
Bersama rakan Norlida (Id)

Sudilah kiranya sesiapa yang membaca perkongsian ini untuk sama-sama kita amalkan dalam melaksanakan tugas seharian. Bukan sahaja di sektor awam bahkan di sektor swasta mahupun ketika kita di rumah. sedar atau tidak ketika kita menjadi suri di rumah walaupun dihujung minggu kita adalah ketua dalam rumahtangga, wanita lebih banyak memainkan peranan di rumah dalam pada kita mendidik anak-anak. Itu pendapat saya terpulang pada masing-masing.

Antara ringkasan pesanan  YBhg Dato' Sri Zoal Azha bin Yusof :

~ " Kursus ini telah bermula sejak tahun 2010 untuk Future Leaders NRE yang menjanjikan memberi manfaat kepada yang menhadirinya."

~ " Kasih sayang pada organisasi dan menjaga nama baik adalah satu elemen penting dalam diri setiap penjawat awam"

~ ' Laksanakan tugas secara Micromanage" - hasil dari pembacaan saya  Micromanage didefinisikan seperti berikut : 




  Kamus Merriam- mendefinasikan "micromanagement" sebagai
"manage[ment] especially with excessive control or attention on details"; manakala definisi lain ialah "a management style whereby a manager closely observes or controls the work of subordinates or employees".

Berdasarkan kedua-dua definisi ini, boleh kita simpulkan bahawa mikropengurusan melibatkan tumpuan yang berlebihan (terutamanya terhadap perkara-perkara kecil) daripada seorang ketua/pengurus kepada orang bawahannya.

Selain itu, penting juga untuk kita mengetahui maksud istilah "delegasi" untuk lebih memahami perbincangan kita di sini.Kamus Advanced English Dictionary mendefinisikan delegasi sebagai "give an assignment to (a person) to a post, or assign a task to (a person)", iaitu menyerahkan sesuatu tugasan atau jawatan kepada seseorang (orang bawahan contohnya).

Bagi mengetahui lebih lanjut saya rujuk di sini

~"Sense of Urgency" perlu ada dalam diri setiap Leaders yang mana sifat melaksanakan tugas dengan   cepat dan kadar segera tanpa menangguh kesatu masa yang lain.

~Memberi "Sentuhan emas" kepada setiap pekerja bawahan, (maksud yang saya fahami adalah perlu   ada sikap menghargai pekerja bawahan keana mereka begitu beharga kerana tiada mereka siapalah     seorang Leader?"

~"Mulakan kerja dengan Bismillahirrahmannirrohim" kerana perlu memohon bantuan dari Allah S.W.T itu penting bagi kita merungkai setiap permasalahan yang kita terima.

~"Buat Check List" untuk seorang Leader itu penting bagi memastikan setiap kerja yang perlu akan dilaksanakan teratur dan kemas, yang mana perlu diselesaikan dahulu dan perlu ada due date.

~"Jangan sesekali bertangguh kerja"

~" Bekerja dengan sepenuh jiwa dan raga, berhati-hati dengan sikap dan perlakuan kita sebagai Leader dan pastikan end product kita memberi manfaat kepada orang yang memerlukan"


InshaAllah...sama-sama kita menunaikan tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara.
Pada saya kita amalkan sifat mulia Nabi Muhammad S.A.W yang tercinta kerana sifat Baginda merupakan cerminan Kitab Mulia Al-Quran. SubhanaAllah...sesungguhnya kita bukan maksum seperti Rasulullah namun kita cuba menjadi seperti Baginda. Sabar dalam apajua keadaan..berilah kami keampunan Ya Allah semoga engkau berikan petunjuk dan kekuatan kepada hambaMu ini dalam menempuh pelbagai dugaan kerja dan kerenah manusia dimukabumi Mu ini Ya Allah aaaminnn..

~yms~

Friday 9 January 2015

Ikan Bawal Putih Masak Stim

Assalam,

Ikan bawal putih ni saya pun baru kenal hmm katanya ikan bawal no 1. Kaum cina yang sangat gemar akan ikan jenis macam ni. Ikan ni saya beli di Bagan Pasir pada masa ni..nak cuba punya pasal saya pun beli la seekor harganya RM20 sekilo tetapi di Pasar Biasa dijual dengan harga RM30 sekilo. Sedap sangat ke rasanya nak tau kenalah cuba ye..ikut tekak saya biasa aje bolehla..mungkin kaum cina ni ada kepercayaan dengan jenis-jenis ikan ni..tak tahulah kebenarannya.








Resepi Ikan Bawal Putih Masak Stim
YMS Creations

Bahan-bahannya :

2 ulas bawang putih dicincang
1 biji bawang besar dihiris
1 inci halia dihiris
1 batang serai diketuk
1/2 biji tomato dihiris
Daun sup dihiris untuk tabur
1/2 kiub ayam
1 sudu sos tiram
Sedikit gula
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis anggaran satu sudu besar

Cara-caranya :

Tumis bawang putih hingga garing
Masukkan kiub ayam, sos tiram, gula dan garam beserta sedikit air biar hingga mendidih
Lumur ikan dengan sedikit garam selepas dibasuh bersih
Masukkan ikan ke dalam kukusan dan tabur bahan yang dihiris
Kukus hingga masak dan tabur dengan daun sup atau daun ketumbar

Tadaaa..hidangkan dengan nasi panas..nak bagitau tekak saya tak berapa ngam dengan ikan ni..apa nak buat sekadar merasa tekak lain- lain kan. Tetap bersyukur kerana dapat juga merasa ikan ciptaan Allah ini.



~yms~


Thursday 1 January 2015

1.1.2015 ~ Genap 5 Tahun Usia Ammar Hayyan di Tahun Baru

Alhamdulillah..Terima Kasih Allah Taala memberi kami semua nafas dimuka bumi ini.

Walaupun pelbagai dugaan diakhir 2014 dan menjelang 2015 yang menimpa negara yang tercinta ini namun kita perlu redha dengan ujian yang diberikan. Saya hanya mampu mengungkapkan kata dan doa yang dapat dititipkan agar mangsa semua tabah. Benar..bahu yang memikul lagi berat dari mata yang memandang...

Disebabkan itu kami bersetuju untuk tidak membeli atau membuat kek sempena hari lahir buah hati kesayangan kami Muhammad Ammar Hayyan  pada tanggal 1.1.2015 ini. Alhamdulillah Cinta Hati kami yang ke-4 ini tidak banyak kerenah meronta-meronta minta kek. Jadilah anak yang bersyukur ye sayangku...Hari ini kami menghabiskan masa bersama bonda mertua di kampung Tanjung Karang dan makan tengahari di Restoran Lembah Bernam, Sg Leman (nanti saya kongsikan tempatnya dan apa yang menarik di sana).





Muhammad Ammar Hayyan ini dilahirkan pada jam 12.30am selepas dentuman bunga api bergema di udara hehehe pada 1.1.2010 @ Poliklinik Bersalin An-Nur, Saujana Utama, Sg Buloh Country Resort. Alhamdulillah kelahirannya sangat mudah..syukur semuanya selamat setelah 4 tahun tidak melahirkan.



                  


Ammar Hayyan punya ciri-ciri yang agak cerewet..yer saya mengaku beliau mewarisi sikap mamanya dalam tindak tanduk perlakuannya. Apapun..mama sangat menyayangi kamu sayang..
Bercakap dengannya perlu berlembut dan usah ditanya berulangkali...pinggan yang digunakan perlu bersih, makanan perlu lengkap, suka sayur dan buah-buahan dan yang paling penting tandas perlu bersih...haaa itula sedikit sebanyak perangai insan kecil benama Ammar Hayyan ni. Semua ibubapa punya anak-anak yang pelbagai ragam kan..terima seadanya perangai anak-anak ni kan..yang penting doakan semoaga menjadi insan yang soleh, berguna pada masyarakat dan yang paling utama TAAT pada Tuhan yakni Allah S.W.T,,aamin.





Tahun 2015 kami bersetuju untuk hantar Ammar Hayyan ke tadika (Children Islamic Centre ~ Where the Leaders Are Born) semoga Allah S.W.T melapangkan dadamu untuk menerima ilmu di sini dan terus dilimpahi rahmat dan hidayah. 

InshaaAllah..semoga permulaan tahun 2015 ini akan memberi sinar bahagia untuk kami semua dan pembaca blog YMS CREATIONS yang budiman..aaamin ya rabb 




~yms~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...