Sunday 18 October 2015

Jus Roselle..ermm sedapnya..




Sedap !!! Berkhasiat !!! Itulah dia Jus Bunga Roselle..Alhamdulilah jiran sebelah kanan saya beri sabtu lepas. Pucuknya saya biasa masak memang sedap dimasukkan dalam sambal ikan tapi bunga ni first time saya dapat jumlah yang banyak. Masa saya tanam dulu sikit jer bunga yang ada.



Saya google dapatlah idea nak sediakan jus berkhasiat ni..

Resepi Jus Roselle
ymscreations

1 mangkuk Bunga Roselle
2 mangkuk air
1 mangkuk gula

Campurkan bunga roselle & air dalam periuk dan rebus 1/2 jam
Tapiskan bunga roselle
Masukkan gula hingga hancur
Sejukkan dan masuk dlm peti
Nak buat jus bancuh dengan air sejuk
Woww sedap sangat!!


Bagus untuk diminum ketika selsema dan batuk. Boleh mengurangkan sakit kepala dan menghindar diri dari kanser, inshaaAllah..


Sedap pulak tu rasanya..si kecil Amsyar bukan main suka minum air ni.. Semoga selsema, batuk dan demam sayang mama akan hilang aaminn..
Uishh tak cukup dlm gelas sambung dlm botol licin !! Good boy sayang..


Alhamdulillah aamin..
::yms::


Nasi Lemak Daun Pisang ~ Sambal Sotong


Assalam pagi ahad semua pelayar di blog ymscreations!!. Alhamdulilah masih diberi nafas dan waktu untuk saya berkongsi citarasa di dalam alam maya ini. Kepuasan tercapai apabila saya dapat      publish perkongsian di sini. Terima kasih kepada yang sudi singgah di blog saya ini, walaupun kita belum berkenalan tetapi saya menganggap sesiapa sahaja yang singgah di sini adalah sahabat saya.

Sarapan apa pagi ni sahabat?? . Alhamdulilah saya sempat menyediakan nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang di depan rumah!!


Daun pisang memang menarik dan menjadi bahan pelaris kpd sesiapa yang menjual nasi lemak. Pasar pagi semalam menyaksikan orang ramai berebut nak beli nasi lemak yg dibungkus daun pisang. Sampai saya batalkan order dek kerana tak suka menunggu panjang. Kebetulan pulak saya perhatikan hanya nasi lemak, telor, sambal & kacang tanah sahaja. Timun dan ikan bilis tiada, tak berbaloi saya nak menunggu lama. Dalam hati esok lah saya buat sendiri boleh lengkap apa yang kita mahukan.

Resepi Sambal Sotong
ymscreations 

1 pinggan sotong yang telah digoreng dgn sedikit minyak (masak sekejap shj dlm 3 minit)
1/2 biji bawang merah besar dihiris kasar
4 ulas bawang merah kecil dikisar
2 ulas bawang putih dikisar
1/2 inci belacan dikisar 
2 biji cili merah dikisar 
3 sdb cili kering kisar
1/2 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga betul-betul garing ( minyak kena lebih sikit saya guna 1/2 cawan)
Masukkan garam dan gula biar hingga garing
Kemudian masukkan air asam jawa dan biarkan hingga pekat baru masukkan sotong. 
Perlahankan api dan biar sambal pekat dan naik minyak barulah tutup api.
Masak sambal kena sabar utk dptkan hasil yang mantap!

Sambal ni nak rasa sedap kena cukup rasa masin, manis sedikit dan masam sikit. Barulah ummphh bila bergaul dengan nasi lemak (nasi lemak saya suka letak hirisan halia, bawang merah dan daun pandan).
Lengkapkan dengan ikan bilis goreng, timun berkupas dan potong serong juga telor rebus. Ermmm..bila nampak cantik pastikan rasanya cukup enak!! Baru lah meletop dalam mulut!!


Haah!! Siap sambal sotong, nasi lemak, ikan bilis, telor rebus dan timun. Daun pisang!! Yes! Suami pagi-pagi lagi dah ambilkan daun pandan dan daun pisang.
Sesi membungkus pun bermula...haaa tu dia nasi lemak daun pisang sudah sedia untuk disantap!


Alhamdulilah boleh dibawa untuk picnic 
atau bekal untuk ke mana-mana mudahkan. Bab membungkus ni memanglah saya suka hehe. Resepi nasi lemak boleh rujuk dalam resepi yang saya pernah ke kongsi sebelum ni yer.


Tu dia..jumlah nasi ni pulak mesti akan ditbah oleh anak-anak. Kalau beli alamat tak cukuplah jawabnya. Rajinkanlah diri bila nak bagi anak-anak dan suami kita bahagia apabila menikmati nasi lemak hehehe..


Alhamdulilah...

::yms::

Saturday 17 October 2015

Udang Segar Goreng Kunyit

Rezeki dapat udang segar dari Pasar LKIM Kuala Selangor pada cuti Awal Muharram yang lepas. Alhamdulilah Kak Zie (tauke ikan) simpankan udang basah dua kilo, sotong sekilo serta ikan jenahak merah dan ikan nyok nyok.

Bila kita berkawan tak kira siapa dia, datang kejujuran dan ikhlas alhamdulillah
hidup kita ceria. Seronok bila kita kenal sahabat yang benar-benar jujur berkawan  dengan kita.

Udang segar ni saya masak goreng kunyit hasil perhatian saya ketika kakak saya memasak Ayam Kampung Goreng Kunyit tempohari. Cuma saya olah ikut kreativiti saya, yang seronok anak- anak minta dimasak lagi keesokannya. Wahh resepi ni akan menjadi resepi favorite kami.


Resepi Udang Segar Goreng Kunyit
ymscreations 

1 mangkuk udang basah segar
1/2 biji bawang merah besar dipotong baji
2 ulas bawang putih dihiris halus
1/2 inci halia dihiris nipis
1/2 sdk serbuk kunyit 
1/2 sdk garam atau secukup rasa
1/2 mangkuk brokoli dipotong sedang
Minyak utk menumis 

Panaskan minyak dan tumis bahan hiris
Apabila sudah layu masukkan  serbuk kunyit
Masukkan udang dan brokoli serta garam
Bila brokoli dan udang agak sudah masak tutup api 
Jangan biarkan lama sangat atas api utk menjaga kesegaran udang dan brokoli 

Mudahkan resepi ni sangat mudah dan sedap dimakan dengan lauk paul lain


Alhamdulilah 

::yms::

Wednesday 14 October 2015

Salam Maal Hijrah - Kari Ikan Nyok Nyok


Assalam, Selamat Menyambut Maal Hijrah 1437..semoga kita semua terus diberi rahmat dan hidayah, kesiihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan..aamin. Alhamdulilah diberi cuti hari ni seronoknya..dapat saya ke Kuala Selangor untuk borong ikan. Tetapi rezeki tidak menyebelahi saya kerana lewat sedikit sampai dan Kak Zie sempat simpan ikan Jenahak Merah seekor, ikan Nyok Nyok, udang dan sotong. Alhamdulillah...



First time dengar ikan nyok nyok kan hehe bunyi macam pelik tapi rasanya bagaimana yer..dah tak ada pilihan ikan lain saya ambil jugalah. Saiz ikan ni besar juga rupa macam ikan selar tapi lebar dan ada bintik-bintik kuning dibadannya. Saya sampai ikan dah siap siang tak sempat nak snap gambarnya.


Balik rumah saya terus siang dan nak cuba masak kari. Segar sungguh ikan ni , lembut isinya memang sedaplah.

Resepi Kari Ikan Nyok Nyok
ymscreations 

1 ekor Ikan Nyok Nyok dipotong
1 paket serbuk kari ikan cap O
3 biji bawang kecil dihiris 
2 biji bawang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris
1 sdb cili kisar
1 cawan santan pekat
1 cawan air panas
1 sdk halba campur
2 biji terung saiz kecil dibelah dua dan potong serong digoreng 
Pucuk daun kari
1/2 sdb asam jawa dibancuh dgn air
Garam secukup rasa
Minyak utk menumis 

Panaskan minyak dan tumiskan halba campur dan bahan hiris hingga sedikit garing
Masukkan cili kisar dan tumis garing
Masukkan serbuk kari dan kacau sekejap sebelum masukkan 1/2 cawan air
Biarkan hingga garing dan masukkan ikan
Masukkan santan dan lebihan air tadi
Biarkan menggelegak dan naik minyak 
Masukkan terung yg sudah digoreng tadi
Perasakan garam dan biarkan mendidih dan kuahnya menjadi cantik.


Alhamdulilah ikan nyok nyok ni memang sedap isinya lembut dan kebetulan memang segar. Makan bertambah anak-anak malam ni..syukur berkat Maal Hijrah 1437.

::yms::

Tuesday 13 October 2015

Tempe Goreng Berempah

Sedapnyer tempe goreng berempah!!
Mudah ajer...

Jom kita buat..



Resepi Tempe Goreng Berempah
ymscreations.blogspot.com

3 bungkus tempe dihiris 
1 sdk jintan halus ditumbuk
1 sdb ketumbar biji ditumbuk
1 ulas bawang putih ditumbuk
2 ulas bawang kecil ditumbuk
1 sdk serbuk kunyit
1 sdk garam
1 sdb air
Minyak untuk menggoreng

Basuh dan rendam dahulu jintan halus dan ketumbar biji sebelum ditumbuk bersama bawang merah dan putih
hingga lumat
Masukkan serbuk kunyit dan garam serta sedikit air
Keluarkan bahan tumbuk dan gaul bersama tempe
Perap seketika sebelum digoreng hingga garing atau terpulang pada citarasa masing-masing.

Sedap dimakan begitu sahaja atau bersama lauk lain..
Cuba memang sedap..

Alhamdulillah

::yms::




Monday 12 October 2015

Sambal Tempoyak Udang Terung Pipit

Nak jamu tekak dengan benda yang simple dan mudah tapi sedap !!!.
Inilah dia taraaa..sambal tempoyak udang terung pipit.


Jom masak..

Sambal Tempoyak Udang Terung Pipit
ymscreations.blogspot.com

1 mangkuk udang basah
1 biji cili merah buang biji dan ditumbuk
5 biji cili api ditumbuk
2 ulas bawang kecil merah ditumbuk
1 biji bawang merah besar dihiris kasar
2 sdb tempoyak
1 genggam terung pipit
1 helai daun kunyit dihiris
Minyak untuk menumis

Panaskan minyak sikit dan masukkan udang biarkan separuh masak dan angkat
Tambahkan minyak lagi dan masukkan bahan  tumbuk dan tumiskan hingga hampir garing dan masukkan bawang potong biarkan layu
Masukkan tempoyak dan terung pipit, biarkan sebati masukkan garam dan gula secukup rasa
Tambahkan air untuk dapatkan kuah
Biarkan mendidih masukkan hirisan daun kunyit 
Boleh diangkat jika dah pecah minyak

Hidangkan dengan nasi panas dan ikan goreng serta sayuran. Saya makan dengan timun segar dan ikan masin pun dah cukup berselera. Sedapnya..



Alhamdulillah...

::yms::
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...