Showing posts with label Tradisi. Show all posts
Showing posts with label Tradisi. Show all posts

Tuesday, 13 September 2016

Homemade Roti Canai Lagi....


Jom kita sarapan roti canai buat sendiri...saya guna mixer untuk uli kali ni mudah dan tidak memenatkan hehe...

Kebetulan ada kuah kari daging lebihan semalam...saya uli doh roti canai ni..
Masa saya remaja dan kami sekeluarga menetap di Kuala Lipis dulu..menu ni memang pilihan kami bila semua balik bercuti saya uli sehingga sekilo jenuh juga laa..sekarang tiada alasan jika ada alat yang memudahkan utk kita menguli!


Saya pernah kongsikan resepi roti canai sebelum ni...cuma kali ni saya letak telor sebiji dan gunakan air suam.

Resepi Roti Canai
ymscreations

4 cawan tepung
2 sdb planta
1 1/2 cawan air suam
1 sdb susu pekat
1 sdb gula
1 sdk garam

Masukkan kesemua bahan dalam bekas mixer dan kemudian adun gunakan mixer.

Biarkan mixer hingga 10 minit nampak adunan lembut dan licin boleh dikeluarkan

Bulatkan seperti gambar no1 di bawah dan sapukan dengan planta di seluruh adunan yang dibulatkan tadi, buat satu persatu.

Perapkan..saya perap sejam sahaja (kalau nak lg lembut uli malam dan tebar pagi).

Tebar di atas dulang hingga nipis spt gambar no2 lipat 4 spt no3.

Panaskan kuali leper dan leperkan spt no 4 gunakan  api kecil ketika menggoreng (goreng ertinya letak sedikit minyak dan planta atas kuali leper). Balik2 kan hingga masak spt no 6.

Boleh di angkat dan dimakan panas2
 dengan kari daging


Oh ya..jgn lupa ditepuk sebaik shj diangkat dari kuali spt gambar di bawah yer..



Hati-hati ye saya guna plastik utk kurangkan rasa panas.


Jom makan semua...wahhh enak banget kok..alhamdulillah...terliur ker! jom la buat!

~yms~

Lontong Daun Pisang di Pagi Syawal 1437H

Throwback!!

Tetiba teringat Lontong yang enak masa raya aidilfitri baru-batu ni...
Sekejap masa berlalu...smlm aidiladha menjelma dan berlalu pergi... Namun kenangan indah tak pernah pergi sentiasa bermain dalam ingatan..jom throwback dgn saya hehe...

Masih segar dalam ingatan..Lontong hasil air tangan sendiri berjaya dibuat. Seronok tidak terkata..bersungguh hubby menebang pokok pisang awak utk dapatkan Lontong yang cantik bewarna hijau.

Tahun ni kami beraya di rumah mak mentua. Hubby bersungguh nak buat Lontong disebabkan anak-anak memang sukakan Lontong..

Alhamdulillah ramai yang menolong kerja jadi kurang bila ada kerjasama ni..

Merebus Lontong ni ambil masa enam (6) jam atau utk lebih hijau cantik lanjutkan hingga 8 jam.


Tu dia lontong yang sudah dipotong dan sedia utk dimakan waktu sarapan sebelum solat hari raya.


Saya sediakan juga Kuah Lodeh yang jika tiada seperti tidak cukup syarat jika makan Lontong ni..


Ayam kicap yang dimasak oleh biras saya juga menjadi hidangan utama utk dimakan bersama lontong. Rendang daging memang hidangan wajib dipagi raya..yang meletop bila lontong dimakan bersama lauk pauk tadi woww anak-anak dan suami memang tak cari yang lain..



Yang paling gembira lontong kami berjaya menjadi menu tradisi yang utama..dan disukai oleh anak-anak buah lain..ketupat turun ranking yerr jadi yg kedua..kan meletop tue!

Alhamdulillah..

~yms~

Sunday, 11 September 2016

Paceri Terung Sedap!

Menu berbuka pada 9 Zulhijjah 1437H saya dan si abang sulong adalah pajeri terung dan ikan goreng. Alhamdulillah tengoklaa sangat selera anak-anak makan termasuk Ammar Hayyan yang mengaku berpuasa siap betambah nasi lagi..hehe gara-gara si pejeri terung pemikat selera!


Saya pernah kongsi resepi pajeri terung dalam blog ni cuma kali ni saya letak udang basah seperti Kak Azie @Azie Kitchen. Jom la masak..

Resepi Pajeri Terung
ymscreations

7 biji terung sederhana dibelah dan digoreng
10 ekor udang basah yang kecil
2 sdb rempah kari daging
5 ulas bawang merah kecil dikisar
3 ulas bawang putih dikisar
2 sdb cili kisar
1/2 inci halia dikisar
1 sdb udang kering direndam dan dikisar
1 cawan santan pekat
2 sdb kerisik
1/3 cawan air asam
Garam dan gula secukupnya
Rempah ratus (bunga lawang, kulit kayu manis & buah pelaga)
1 btg serai diketuk

Tumiskan rempah ratus, serai, bahan kisar dan masukkan cili kisar hingga garing 
Masukkan rempah kari yg telah dibancuh dgn air dan udang kering kisar tumis hingga garing
Masukkan santan dan biar mendidih masukkan air asam dan udang basah
Perasakan garam dan gula 
Masukkan kerisik dan terung
Bila kuah dah kering sedikit dan naik minyak boleh diangkat


Walllaaa...saya suka sangat tengok terung yg berubah warna dari purple ke kelabu selepas digoreng dari kelabu ke hijau selepas dimasak pajeri! Suka! dan Sedap!.. Tengok pun da geram..masa berbuka olala enak banget memang menikmati lahhh..

Alhamdulillah...

~yms~




Saturday, 3 September 2016

Masak Lemak Cili Api Pisang Muda..

Assalam...

Lama tak bersiaran...hari ni saya nak kongsi menu yang menarik tertarik!
Pisang lemak manis ni hubby tebang waktu balik ke kampung waktu cuti hari merdeka baru-baru ni..
Setandan dibawa balik, saya simpan dalam peti sesisir pisang muda utk dimasak lauk..
Selebihnya terus masak keesokan harinya..



Ini dia..Masak Lemak Cili Padi Pisang Muda..ermmmm sedap sungguh!!..pisang muda ni jika dimasak kari pun sedap..kali ni teringin Masak Lemak Cili Padi..jom resepi!

Resepi Masak Lemak Cili Padi Pisang Muda
ymscreations

1 sisir pisang muda lemak manis
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
7 biji cili padi*
1 inci kunyit hidup*
1/2 gengam ikan bilis
1 ulas bawang putih*
1 ulas bawang merah kecil*
1 batang serai
Garam secukup rasa

Bersihkan pisang, asingkan kulit dan isi pisang  dipotong dan dicelur
Tumbuk bahan yang bertanda * hingga lumat dan tumbuk ikan bilis kasar
Panaskan periuk dan masukkan santan cair bersama bahan tumbuk serta ikan bilis
Masukkan serai yang diketuk
Biarkan hingga mendidih dan pisang serta kulit pisang empuk
Masukkan santan pekat dan garam secukup rasa
Jika dah sebati boleh ditutup api dan dihidang


Sedap sangat menu ni..rugi kalau tak cuba..
Saya sangat suka kulit pisang tu...nampak tak..sedap tau!


Alhamdulillah..

~yms~

Saturday, 25 June 2016

Rendang Ayam Maman..#bekal kakak

Anak perempuan tunggal saya akan balik ke Penang tengahari ini selepas pulang sejak jumaat baru ni..sabar ye kakak jumaat akan datang dah balik ke rumah semula utk cuti raya..

Saya sediakan Rendang Ayam Maman utk juadah berbuka, saya bekalkan nasi impit dan nasi putih. Tidak lupa juga sambal tempe, kentang dan ikan bilis.


Resepi Rendang Ayam Maman
YMSCREATIONS

1/2 ekor ayam
1 mangkuk daun maman
5 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
2 btg serai*
5 biji cili api *
2 sdb cili kisar
1 cawan santan pekat
Sedikit  air masak
1 sdb kerisik
1 senduk minyak
Sedikit gula dan garam

Kisar bahan bertanda *
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar berserta cili kisar
Biar hingga garing dan masukkan ayam yg telah dibasuh dan biar hingga kering air
Masukkan santan pekat dan sedikit air
Masukkan daun maman ( jgn kerap dikacau )
Kecilkan api biarkan reneh hingga kuah sedikit kering


Saya tak letak daun limau purut dan daun kunyit sebab letak daun maman..


Alhamdulillah syukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan...

~yms~

Tuesday, 21 June 2016

Saya dah tau buat rojak!


Rojak! Makanan kegemaran suami dan anak-anak...mulanya dulu saya rasa macam susah sangat nak buat kuah rojak ni...nak dapat resepi yang sedap bukan mudah ada saja yang tetinggal itu ini...ermmm inshaaAllah saya cuba gali dan gali hingga dapat yang kena dengan tekak.



Alhamdulillah anak-anak semua suka habis licin rojak ni..gembira rasa hati walaupun pada mulanya ada sedikit kekurangan tapi selepas berbuka saya alter kasi secukup rasa!.

Resepi Kuah Rojak Sempoi
YMSCREATIONS

1 mangkuk kacang tanah digoreng dan dikisar
3 ulas bawang putih 
3 ulas bawang merah kecil
1 sdb ikan bilis halus
1 inci belacan
6-7 tangkai cili kering direbus dan tos
4 keping biskut lemak dikisar halus
Air masak
1/3 cawan air asam jawa
1 senduk gula
Garam

Cili kering, bawang putih, bawang merah, belacan, ikan bilis digoreng hingga layu
Kisar halus bahan-bahan yang telah digoreng
Panaskan periuk yang berisi air dan masukkan bahan kisar tadi, biarkan hingga mendidih
Masukkan kacang tanah, air asam jawa, garam dan gula
Masak hingga kuah menjadi pekat 
Masukkan biskut yg sudah dikisar

nota: kuah rojak ni sedikit manis baru sedap dimakan bersama bahan-bahan lain


Sayur-sayuran seperti sengkuang, timun dan salad. Tauhu digoreng dan saya sediakan cekodok mudah kerana nak jimat masa. Telor direbus...bahan-bahan ikut suka kita sayur mana yang menjadi pilihan hati....yg penting kuah rojak sedap!


Cekodok ni saya sediakan sebab anak-anak request . Tepung gandum, yis, ikan bilis halus ditumbuk, garam dan sedikit gula. Biarkan sekejap dan boleh goreng dan dipotong.

Walaupun sempoi tetap sedap ditekak anak-anak dan hubby!..hubby bg markah  100%...at last!

~yms~

Sunday, 12 June 2016

Talam Berlauk Keladi...Iftar ke-6

Salam Ramadhan ke-6, hari ni kami berbuka di Meru rumah ayahanda kami. Alhamdulillah sudah keluar wad semalam dan akan sambung rawatan pada hari isnin nanti.


Ketika dipotong kuih ni masih panas lagi, gambar di bawah sesudah sejuk dan bila dipotong agak bersepah sedikit kerana ada keladi. Rupa bukan penentu segala yang penting rasanya kan...

Alhamdulillah..pertama kali saya buat Talam Berlauk Keladi...rasanya lemak sebati dengan santan dan bahan-bahan lain yang disatukan mesra. Nak tau kena cuba yer..




Resepi Talam Berlauk Keladi
YMSCREATIONS

1 mangkuk keladi yang dipotong dadu (direbus dan ditos)
10 ekor udang dipotong kecil
1/2 sdk lada sulah
1 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 sdb tepung ubi
4 gelas santan (santan pekat + santan cair)
1 biji bawang besar dihiris nipis dan goreng garing
1 pokok daun sup dihiris
1 sdb udang kering (rendam, goreng & kisar halus)
1 biji telor dibuat telor dadar dan dihiris 
1 biji cili merah & 1 biji cili hijau
1 sdb kacang tanah kisar 
Garam secukupnya


Bancuh sukatan tepung dan santan di dalam bekas dan tapis
Letakkan garam dan ketepikan 
Sementara itu panaskan minyak, goreng udang dan letakkan lada sulah
Masukkan udang tadi dan keladi ke dalam bancuhan tepung 
Panaskan kukusan dan biar air menggelegak
Panaskan periuk dan jerang bancuhan tepung tadi hingga berasap api perlahan sahaja
Masukkan ke dalam loyang seperti gambar di bawah dan kukus selama 45 minit


Selepas 45 minit boleh taburkan cili potong dan daun sup
Selepas 1 jam boleh letakkan udang kering yang dikisar, kacang tanah kisar dan bawang goreng seperti gambar di bawah


Saya taburkan telor dadar yang dihiris akhir sekali..boleh juga disusun tabur ikut kreativiti masing-masing


Hidang kan dengan sos yang enak..

#15 minit terakhir buka penutup kukusan untuk beri air kering di permukaan
#saya suka kejadian kuih ini agak lembik sedikit sangat sedap dimakan dengan sos!


Resepi Sos Talam Berlauk
YMSCREATIONS

2 ulas bawang putih ditumbuk halus
1 ulas bawang merah kecil ditumbuk halus
2 sdb cili kisar
1/2 cawan air asam jawa
3-4 sdb gula ( ikut citarasa masing-masing 
2nsdb cili sos
Garam secukup rasa

Masukkan semua bahan dan renihkan hingga mendidih
Perasakan garam 

#Rasa sos lebih sedap bila cukup rasa masam, manis dan masin sekadarnya



Walaupun penyediaan kuih ini agak leceh sikit tapi berbaloi dengan rasanya

Alhamdulillah..

~yms~

Friday, 10 June 2016

Cucur Udang Lembut..sedap!



Cucur udang ni hubby sangat suka...sajian yang sesuai untuk berbuka puasa, sedap dan ambil masa yang singkat untuk sediakan. Bila nak ke dapur  selepas pulang dari kerja memang kena cari menu yang mudah...kita pun penat sangat dan tak serik dapur.





Resepi Cucur Udang
YMSCREATIONS

3 cawan tepung gandum
1 sdb yis
1cawan air (secukupnya)
6 pokok daun kucai
Segenggam taugeh
1/2 biji bawang dihiris
1/2 cawan udang 
1/2 sdk serbuk kunyit
Garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Campurkan tepong, yis, kunyit dan garam dan masukkan air bancuh rata
Masukkan kucai, taugeh dan udang
Biarkan setengah jam biarkan sedikit naik dan goreng (saya tak suka lama sangat nanti menyerap minyak)
Goreng dalam minyak panas (besar cucur anggaran seperti gambar di bawah)


Sejukkan sekejap sebelum dipotong...


Dah siap dipotong....


Resepi Kuah Cucur
YMSCREATIONS

2 sdb cili kisar
1/4 cawan air asam jawa
1 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah kecil
2 sdb cili sos
2 sdb gula (ikut suka tahap kemanisan)
Sedikit garam
Air masak (jgn cair sangat)
Sedikit kacang tanah kisar

Tumbuk bawang putih dan merah
Masukkan kesemua bahan kisar dan bahan-bahan lain dalam periuk
Renehkan hingga jadi pekat
Perasakan garam dan gula
Taburkan kacang bila sudah sejuk


#sangat sesuai untuk kuah popia dan tauhu sumbat sedap!

Alhamdulillah...

~yms~

Monday, 6 June 2016

Paceri Nenas & Terung, Ikan Senangin Asam Rebus


Saya memang tak boleh berpisah dengan paceri terung dan nenas..aduhai boleh nangis kalau tak dapat..

Alhamdulillah resepi paceri ada saya kongsikan dalam ni..cari la yer..
Kali ni saya buat banyak sikit awasnya bila terung habis saya masukkan nenas pulak..ermmm kecur air liur bila sebut dalam bulan puasa ni..


Paceri terung gambar di atas tapi di bawah ni paceri nenas..anak-anak saya sangat suka paceri terung. Nenas ni saya, suami dan abang yg sulong je suka..

Kalau takde selera makan paceri ni dengan telor dadar atau ikan masin pun bertambah nasi..cubalah jangan tak cuba..

Paceri nenas ni keesokannya bila terung dah habis..saya masukkan nenas yang sudah dicelur sekejap jer..kebetulan nenas ni jenis yg manis dan lembut jenis banyak air aduhh sangatlah sedap bila masuk dalam kuah paceri ni..


Kali ni saya makan paceri terung dengan ikan goreng belanak haaa goreng dgn sisik sekali hingga garing memang meletop!

Ammar & Ayra pulak minta Asam Rebus..ada juga saya kongsikan di sini cuma saya letak daun limau purut. Saya guna cili merah basah dikisar dengan bawang merah kecil seulas dan bawang putih seulas, juga kunyit hidup. Jerang atas api hingga mendidih dan masukkan daun limau purut dan asam keping Perasakan garam ermmm siap! Menghirup Ammar menikmati kuah asam rebus kesukaan dia..


Yang dalam mangkuk kecil tu saya bwk balik gulai kawah dari Sg Petani ' Mid Gulai Kawah' memang sedap patutla hari pertama kami pegi licin gulai kawah ni..
Esok baru hubby singgah dan bungkus untuk kami dua orang sebelum hubby dan 4 anak lain balik ke Sg Buloh..punyala banyak..itu yang saya simpan dalam freezer bawa balik ke rumah. Masih sedap dan tidak basi! Alhamdulillah..

Selamat Memasak dan Berbuka yer kaum wanita sekalian..air tangan kita pengikat kasih sayang keluarga...

~yms~

Tuesday, 17 May 2016

Sambal Mohdi Warisan Turun Temurun

Alhamdulillah..syukur diberi masa dan ruang untuk saya berkarya oleh Dia..curi-curi waktu..sesungguhnya waktu itu amat beharga untuk kita laksanakan pekerjaan yang baik-baik. Berblog untuk berkongsi ilmu dunia masakan pun inshaaAllah baik kan...



Resepi Sambal Mohdi
ymscreations

2 sudu besar cili kisar
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 keping asam keping
Segenggam ikan bilis 
Sedikit belacan
Garam & gula secukup rasa
Minyak utk menumis

Goreng ikan bilis hingga garing
Tumbuk bawang putih dan belacan hingga lumat
Bawang besar dihiris sederhana nipis dan goreng dlm minyak lebihan goreng ikan bilis tadi hingga layu
Masukkan bahan tumbuk tadi hingga sedikit garing dan masukkan cili kisar
Biarkan garing dan naik minyak masukkan garam, gula dan asam keping
Tidak perlu masukkan air yer biarkan hingga sebati dan masukkan ikan bilis goreng tadi
Tutupkan api dan hidangkan dgn nasi lembik atau bubur nasi bersama kangkung tumis dan telor masin/ikan masin



Menu pilihan anak-anak saya licin semuanya..

Alhamdulillah..

~yms~

Wednesday, 2 March 2016

Sedapnyer Umbut Kelapa !!

Alhamdulillah..dari minggu lepas sangat teringin nak makan UMBUT..terliur sangat. Cakap hubby nak cari di Pasar Paya Jaras ahad ni, tetapi nak dijadikan cerita semalam hubby balik dari ziarah kematian ayah saudara yang meninggal dunia. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan para syuhada. Ptg tu hubby singgah di Pasar Tg Karang nak beli ikan ternampak Umbut Kelapa..apa lagi sekilo hubby beli. Syukur Ya Allah, betapa Besarnya kuasa Mu hinggakan apa yang ada dalam hati hambaMu dapat didengari. Terima kasih hubby ingat dan tidak menghampakan keinginan isteri yang kadang-kadang punya selera pelik-pelik hehehe.


Malam tu juga saya masak UMBUT Masak Lemak Putih. Aduhai sedapnya..sepinggan tu saya dan hubby jer habiskan. Anak-anak masih baru lagi dengan makanan ni nak makan pun banyak soalannya. Saya pun pernah makan sekali sahaja masa kenduri kawin sepupu hubby dua atau tiga tahun yang lepas. Selepas tu saya teringat-ingat sampai sekarang. Ermm tengok di TV pulak Didie Alias masak Umbut ni dengan daging salai dimasak Lemak Cili Api aduhai memang mencabar betul. Ada ke yang tak kenal Umbut?? Haa ni dia..masa potong tu sempat saya makan mentah aduh lemaknya sedap sangat..tak sabar nak masak. 

 


Jomlah masak umbut...

RESEPI UMBUT MASAK LEMAK PUTIH

1/2 kilo Umbut dihiris nipis
2 cawan santan pekat
1 cawan air masak
1 biji cili dihiris
1/2 biji bawang merah besar dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
Segenggam udang kecil
garam secukup rasa

Masukkan kesemua sekali dan didihkan di atas api sederhana.
Kacau sentiasa sehingga umbut empuk.
Perasakan dengan garam.
Hidangkan dgn sambal belacan oolalaa..



Alhamdulillah... Hidang juga dgn ikan goreng atau lauk lain memang terangkat lah..

::yms::

Sunday, 19 April 2015

Paceri Terung Sedap !!

Saya sangat suka paceri / pajeri terung sedap!!

Selain nenas, terung, mangga, kedondong, belimbing buloh semuanya blh dibuat paceri. Yang paling biasa adalah terung. Kali ni saya masak yang mudah ajer seperti resepi di bawah ;



RESEPI PACERI TERUNG
yms creations

6 biji terung kecil
1 cawan santan pekat
2 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 sdb serbuk kari daging
1/4 inci halia
1/4 inci kunyit
1/4 cawan ikan bilis
1 sdb kerisik
1/2 cawan air asam jawa
Sedikit air
Gula dan garam secukup rasa
Minyak utk menumis

Goreng terung yg dibelah dua hingga lembik
Tumbuk/kisar bawang putih, bawang merah, halia & kunyit  hingga lumat Tumbuk kasar ikan bilis
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga garing, masukkan serbuk kari dan kacau sebati dan masukkan sedikit air agar tidak hangus
Bila sudah garing masukkan santan, garam dan gula perasakan biar agak manis sedikit, masukkan air asam jawa
Biarkan hingga pecah minyak dan masukkan kerisik
Masukkan terung yang telah digoreng tadi

Hidangkan dengan telor dadar pun dah sedap sangat...


Alhamdulillah...

~yms~


Sunday, 22 March 2015

Lemang & Rendang Ayam Santapan Hujung Minggu

Assalam Pagi Ahad, semoga berada di bawah lindunganNya kepada semua pembaca blog saya. Alhamdulillah walaupun blog ini masih muda usianya ramai juga pengunjung dari luar negara sana. Tidak kira sesiapa jua pengunjung yang datang saya ucapkan terima kasih kerana sudi singgah, harapan saya agar blog ini bermanfaat kepada setiap pengunjung yang datang. 

Ok jom sarapan dihujung minggu!
Lemang ni Kakak saya yang beri dibawa balik dari Kuala Lipis. Abang Ipar saya yang seorang ni berasal dari Kuala Lipis. Nanti saya ada enti khas perihal Kuala Lipis yer!!. Sekarang nak cerita pasal Lemang yang sedap nih hingga saya sanggup buat Rendang Ayam dipagi hari Ahad yang hening ini hehe..

Seronok bila hubby dok menjenguk jenguk dapur bau rempah rendang ditumis..



Resepi Rendang Ayam pernah saya kongsikan tetapi kuantiti yang banyak tapi kali ni saya guna 1/2 ekor ayam sahaja.

Jom resepi,

RENDANG AYAM
yms creations

Bahan bahan :

1/2 ekor ayam (ayam daging)
5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1/2 inci halia*
1/2 lengkuas*
1 inci kunyit hidup *
2 batang serai *
1/2 senduk cili kisar - ikut suka pedas
1 cawan santan pekat
1 helai daun kunyit - dihiris 
1 helai daun limau purut
1 sdb kerisik 
Kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang (agak-agaklah jgn banyak sgt)
Garam 
Gula

Cara cara:

Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bahan yang telah dikisar sehingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar serta lengkuas yang diketuk. Tumis sehingga cili benar benar garing.

Masukkan ayam dan gaul rata sehingga ayam kecut. Pastkan benar-benar kering ye, baru dimasukkan santan dan masak dengan api perlahan sahaja. 

Akhir sekali, masukkan daun limau purut, kerisik, garam dan gula secukup rasa. Masak sehingga kuah kering dan pecah minyak dan taburkan daun kunyit yang dihiris halus sebelum ditutup api.


Rendang yang sudah siap dimakan dengan lemang yang lembut dan lemak nih, alahai sedap sungguh !!!

Alhamdulilah..

~yms~

Thursday, 19 March 2015

Pergedil...amboi cepatnya licin..

Pergedil ! Pergedil ! Dulu sebelum saya berjaya buat sendiri pergedil ni terasa sangat susah rasanya     nak buat. Tetapi sekali buat alhamdulillah tak la susah mana hendak seribu daya tak hendak seribu     dalih. 

Mudah aje rupanya, jom lihat resepi




RESEPI PERGEDIL 

Bahan-bahan :

3 biji kentang import (yang besar sikit) dipotong bulat dan digoreng empuk
10 ulas bawang merah kecil dihiris halus dan digoreng
2 sudu besar udang kering direndam, digoreng dan ditumbuk halus
1 pokok daun sup dihiris halus
2 biji telor
sedikit garam sekukup rasa
sedikit lada sulah

Cara membuat :

Kentang yang telah digoreng dilenyekkan hingga halus
Masukkan garam dan lada sulah (agak-agaklah jangan terlalu masin)
Masukkan bawang goreng, udang goreng yang telah halus dan daun sup
Gaulkan hingga sebati
Masukkan 1/2 biji telur yang telah dipukul
Bentukkan bulat dan tekan sedikit agar nampak leper
Celupkan ke dalam telur yang telah dipukul tadi dan goreng dalam minyak yang panas
Pastikan api jangan kuat dan jangan hangus
Hidangkan dengan mee hoon sup, soto atau makan begitu saja




Wahh memang sedap nih..kadang-kadang saya buat rencah ayam atau daging. Anak-anak saya sangat suka ni..sekejap je duk dalam pinggan tak sedar licin dah hehehe

Alhamdulillah..

~yms~

Thursday, 12 March 2015

Pulut Kuning untuk Amsyar....


Selamat Ulang Tahun...Selamat Ulang Tahun...for my little love Amsyar Hayy pada 28 Februari 2015 yang lalu..Kami sangat sayangkan kamu duhai sayang..

Ni baru sempat nak cerita. Maklumlah saya bkn Housewife dan tak sempat buat entry hari-hari, perlu curi-curi masa. Saya jadikan ber 'blog' ini sebagai hobi, daripada buang masa tak tentu hala. Ada baiknya saya ber'blog' berkongsi rasa dari hasil air tangan, rasa dari perasaan. itupun kepada pembaca yang sudi singgah ke sini.

Alhamdulillah, dari hari ke hari saya nampak ada sahaja yang singgah dari merata negeri mahupun negara. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah, tak jadi follower pun tidak mengapa. saya sangat low profile hehehe. Apa yang saya harap agar ilmu masakan ini dapat dikongsikan dengan insan lain terutamanya anak perempuan tunggal saya dan bakal anak menantu saya akan datang, InshaaAllah... 
.
Yang penting bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar berkongsi rasa. 

OK!!! ke tujuan sebenar entri ini ditulis...
Saya buat pulut kuning ni untuk disedekahkan kepada jiran yang terdekat dan yang ada di rumah ketika tu.
Kepada yang tiada di rumah ketika tu tak dapatla saya nak hulurkan dan kepada yang dah declared tak makan pulut. 

Siapa yang dapat tu kira rezeki lah yer sebab saya sediakan ppulut ni denga hati yang tulus ikhlas dengan niat agar anak comel saya ni diberi kesihatan berpanjangan dan menjadi anak yang menuruti perintah Allah S.W.T.

Saya tak bercadang untuk kongsikan resepi di sini kerana kukus atau tanak pulut ni semua orang tahu kan..cuma kukus ni ambil masa yang agak lama lebih dari sejam.

Kali ni saya kukus, saya kukus dengan meletakkan sesudu butter untuk melembutkannya bagi kukusan pertama. Kukusan kedua barulah di gaulkan dengan santan pekat yang dicampurkan garam secukup rasa.




Kali ni saya gandingkan dengan rendang ayam, resepinya boleh rujuk di SINI...mudah jer




Alhamdulillah , kami semua dapat juga merasa sorang sedikit..mkn pulut ni bukan boleh berulang kali sangat, angin lah macam-macam. Biar sedikit tetapi menyelerakan dan diingat-ingat sampai bila-bila. Saya cadang nak buat lagi dengan cara tanak menggunakan periuk Noxxa..inshaaAllah.







~yms~

Monday, 9 March 2015

Daging Ungkep Jawa !!

Assalam,

Bila ku rindu akan ku sebut nama mu...walaupun dikau sudah tiada...hmmm saya rindukan arwah mak saya, semoga arwah tenang di sana. Saya sediakan sendiri lauk ni bila rindukan dia..nama lauk ni Daging Ungkep, orang jawa mesti tau kan..

Bukan ungka ya! Bukan main lagi nak permainkan menu orang..hehheh.

Daging ungkep ni pedas sikit saya tambahkan cili api, memang licinlah kisahnya bila dimakan dengan nasi impit dan kuah kacang..alhamdulillah..

Sejak saya kecil menu ni jadi hidangan wajib! Bukan bermakna hari - hari tetapi kerap dimasak. Dulu arwah nenek, arwah mak dan makcik saya letakkan cili api sebiji-sebiji tetapi kali ni saya blend terus kerana anak-anak saya sukakan pedas. Jangan banyak sangat setakat 5 ke 7 biji cukuplah kan.

Jom selak resepi turun menurun keluarga saya ni.,





RESEPI DAGING UNGKEP
yms creations

Bahan-bahan :

Daging 1/2 kilo - dihiris nipis
2 sdb ketumbar biji*
1 sdk jintan halus*
1sdk jintan kasar*
1 inci kunyit hidup*
1 inci halia*
5-7 biji cili api*
3 ulas bawang putih*
2 batang serai*
4 ulas bawang merah atau 1/2 biji bawang besar*
1/2 inci lengkuas*
1 sdk gula
Garam secukup rasa

Cara memasak :

Rendam terlebih dahulu ketumbar biji, jintan halus dan kasar. Blend semua bahan yang bertanda * hingga betul-betul halus. 
Separuh bahan kisar tadi diperap dengan daging dalam 20 minit, lagi lama lg sedap
Saya gunakan pressure cooker untuk melembutkan daging yang diperap tadi bersama rencah
Panaskan minyak dalam sesenduk dan tumis bahan kisar yang separuh tadi
Biarkan hingga garing dan wangi baru masukkkan daging yang telah dilembutkan tadi
Masukkan sedikit air dan perlahankan api, masukkan gula dan garam secukup rasa
Biarkan hingga betul- betul empuk dan mesra rasanya 
Bila sudah agak kering seperti gambar di bawah boleh tutup api dan hidangkan





Kali ni saya hidangkan dengan nasi impit dan kuah kacang...licin! 
Saya bawakan untuk Abah dan adik-adik di Meru..juga licin..alhamdulillah
Syukur kepada Allah S.W.T di atas nikmat yang dikurniakan..



Makanan jawa sentiasa dihati...

~yms~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...